Wednesday, September 14, 2011

Bedah singgah

Categories: ,


Pusat jagaan harian hospital bantu pesakit jimat kos, cepat pulih

RAWATAN harian adalah prosedur atau pembedahan yang membenarkan pesakit mendapat rawatan yang diperlukan tanpa perlu bermalam di hospital. Pesakit akan mendapat rawatan dan pulang ke rumah pada hari yang sama. Dianggarkan lebih kurang 70 peratus pembedahan boleh dijalankan secara rawatan harian dan ada banyak faktor lain yang perlu dipertimbangkan bagi memastikan kesesuaian pesakit bagi rawatan jenis ini.

Antara prosedur dan pembedahan yang sesuai sebagai rawatan harian ialah endoskopi (pemeriksaan dalaman perut dan usus), pembedahan kecil, penjagaan luka, rawatan kemoterapi dan dialisis.
Perunding Pembedahan Am Hospital Columbia Asia Cheras, Dr Chaw Chee Kien menjelaskan faedah-faedah rawatan harian termasuk pengurangan kos rawatan, keselesaan pesakit semasa pemulihan di rumah, peluang dapat bersama keluarga semasa pemulihan, pemulihan yang lebih cepat, pengurangan risiko mendapat jangkitan dari hospital, penggunaan dewan bedah yang lebih efisyen dan mengelak kesesakan di hospital.
Pada masa ini, ada sesetengah polisi insuran kesihatan yang turut memberi perlindungan insuran kepada pesakit untuk menjalani rawatan harian.

Menurutnya, ada banyak faktor yang mesti dipertimbangkan untuk memastikan pesakit tertentu saja ditawarkan rawatan harian. Umur pesakit mesti melebihi enam bulan dan berat badan terkawal dengan Indeks Jisim Tubuh di bawah angka 35, risiko bius yang rendah, jangkamasa pembedahan yang kurang sejam dan risiko komplikasi pembedahan yang rendah amat penting untuk keselamatan pesakit.

“Pesakit juga perlu seorang penjaga untuk membawa ke hospital dan pulang ke rumah. Penjaga itu juga perlu faham cara untuk menjaga pesakit itu pada masa pemulihan dan boleh membawa pesakit itu ke hospital jika ada sebarang masalah selepas menerima rawatan harian.

“Ia amat penting terutama pesakit kanak-kanak dan pesakit yang lebih uzur. Lazimnya, masa perjalanan ke hospital dari rumah pesakit mestilah kurang daripada satu jam dan pesakit juga mesti boleh mendapat rawatan kecemasan dari doktor klinik yang berdekatan jika perlu,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Sebagai prosedur, pesakit perlu berjumpa doktor pakar bagi menjalani pemeriksaan dan ujian rapi sebelum menentukan cara dan tarikh rawatan harian yang sesuai. Sejarah kesihatan yang lengkap termasuk ubat-ubatan yang diambil dan alahan yang dialami, juga harus dimaklumkan kepada doktor. Selepas itu, pesakit-pesakit akan mendapat penerangan dari doktor mengenai rawatan yang diperlukan dan persiapan yang perlu diambil.

Bagi pesakit yang merokok, kata Dr Chaw, akan dinasihatkan supaya elak merokok selama sekurang-kurangnya dua minggu untuk mengurangkan risiko bius.
Alkohol juga perlu dielakkan selama 24 jam sebelum pembedahan kerana ia boleh berinteraksi dengan ubat bius dan ubat-ubatan yang lain. Jika pesakit mengalami penyakit selsema, demam dan batuk, pembedahan itu mungkin perlu ditangguhkan.

“Untuk bius penuh atau am, pesakit dewasa perlu berpuasa dari tengah malam manakala kanak-kanak yang menyusu perlu berpuasa dari jam 4 pagi. Pesakit juga perlu berehat dengan mencukupi sehari sebelum pembedahan itu dijadualkan.”

Pada hari pembedahan, pesakit perlu datang ke hospital sekurang-kurangnya dua jam sebelum waktu rawatan. Alat solek dan barang kemas perlu dielakkan dan pesakit digalakkan memakai pakaian yang selesa.

Mereka akan ditempatkan di wad rawatan harian yang biasanya berasingan dari wad umum. Doktor yang merawat akan sekali lagi memeriksa pesakit dan memberi penjelasan mengenai rawatan yang dijadualkan serta meminta izin pesakit untuk memberi rawatan itu.

Selepas pembedahan harian, pesakit akan diperhatikan di wad rawatan harian sehingga kesan bius hilang sebelum dibenarkan minum dan makan. Doktor dan jururawat yang terlatih akan memastikan pesakit cukup sihat untuk pulang ke rumah dan diberi ubat yang mencukupi.

Pihak hospital juga akan memberi nombor telefon kecemasan kepada pesakit untuk memastikan pertolongan yang cepat dapat disalurkan bila perlu.

Spread The Love, Share Our Article

Related Posts

No Response to "Bedah singgah"

Post a Comment