Tuesday, September 20, 2011

Awas meningitis


"Sebaik Hemophilus Influenza masuk melalui darah ke selaput otak ia akan terus membentuk nanah. Antibiotik tidak boleh menembusi nanah sekali gus gagal membersihkannya" - Dr Anthony James Mansul (Perunding Pediatrik Pusat Perubatan Prince Court)

Jangkitan virus pada otak, boleh bawa maut tidak kenal mangsa

BAGI seorang ibu, masalah anak demam, enggan makan dan minum, sakit kepala, merengek, muntah mungkin kedengaran seperti gejala penyakit yang biasa dialami anak kecil. Hakikatnya, tanda penyakit begini jangan diambil mudah kerana mungkin anak anda sedang menderita penyakit meningitis.
Meningitis adalah radang akibat jangkitan virus atau bakteria pada selaput meninges pada otak dan saraf tunjang. Punca paling lazim meningitis adalah jangkitan virus yang biasanya pulih selepas mendapat rawatan. Bagaimanapun jangkitan meningitis oleh bakteria sangat merbahaya dan boleh menyebabkan kematian atau kecacatan otak.
Malangnya, berapa ramaikah ibu bapa khususnya yang menyedari bahaya meningitis dan mengambil tindakan segera? Menyedari kepentingan itu, hari ini diisytiharkan Hari Meningitis Sedunia yang dianjurkan Persekutuan Pertubuhan Meningitis bagi menyemarakkan kesedaran dan kesan meningitis ini serta manfaat pengambilan vaksin bagi mengelak kematian akibatnya.

Perunding Pediatrik Pusat Perubatan Prince Court, Dr Anthony James Mansul, berkata ada beberapa jenis bakteria yang menyebabkan penyakit meningitis seperti Streptokokus pneumonia dan Neiseria meningitis.

“Bagaimanapun, di negara ini kuman bakteria yang sering ditemui adalah Hemophilus influenza atau HIB.

“Apa yang menakutkan mengenai Hemophilus Influenza ialah sebaik masuk melalui darah ke selaput otak ia akan terus membentuk nanah. Masalahnya antibiotik tidak boleh menembusi nanah sekali gus gagal membersihkannya.
“Akibatnya, kanak-kanak yang mengalami penyakit ini akan maut ataupun mengalami kecacatan otak,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Dr Anthony berkata, sekitar awal 1990-an, kebanyakan kes yang dilaporkan membabitkan latar belakang masyarakat dengan sosio ekonomi yang rendah. Mereka tidak menyedari masalah kesihatan anak-anak mereka kerana seharian bekerja di ladang dan kerana itulah ramai kanak-kanak yang dimasukkan ke hospital dalam keadaan tenat.

Kini, biarpun perkembangan sains dan teknologi yang serba canggih, hakikatnya sukar untuk menangani persepsi masyarakat yang memandang serong ujian diagnosis meningitis yang masih kontroversi. Ini disebabkan satu-satunya cara bagi mengesan meningitis adalah dengan mengambil cecair pada saraf tunjang menggunakan jarum suntikan atau prosedur dikenali lumbar punture.

Mereka beranggapan dalam kebanyakan kes, apa yang berlaku adalah apabila prosedur ini dilakukan, pesakit meninggal dunia atau mengalami kecacatan. Ini tanggapan yang salah mengenai prosedur berkenaan dan akibatnya sehingga kini, sukar untuk meyakinkan orang tersayang dan keluarga pesakit untuk meneruskan prosedur berkenaan.

Bagaimanapun, sejak enam hingga tujuh tahun kebelakangan ini kes meningitis semakin berkurangan. Jika dulu pengamal perubatan menerima satu atau dua kes setiap hari, kini hanya satu kes dalam masa dua bulan. Ini adalah kesan proaktif kerajaan menerusi Kementerian Kesihatan memperkenalkan program HIB ke dalam senarai jadual imunisasi kanak-kanak pada 2000.

INFO: Golongan berisiko:

  • Orang dewasa di bawah 30 tahun dan kanak-kanak di bawah 5 tahun sering dijangkiti meningitis.

  • Virus Herpes menyebabkan viral meningitis.

  • Meningitis juga boleh disebabkan oleh kesan kimia, alahan pada ubat, kulat dan ketumbuhan.

  • Tanda barah prostat?

     Lelaki botak usia 20-an dikatakan petunjuk awal risiko kanser


    MASALAH rambut gugur sememangnya merunsingkan. Lebih mencemaskan lagi apabila masalah yang dianggap alah bisa tegal biasa dalam kalangan lelaki ini sebaliknya turut dikaitkan dengan penyakit lebih serius iaitu kanser prostat.
    Inilah hasil kajian terbaru sekumpulan penyelidik Perancis diketuai Dr Philippe Giraud, penyelidik Hospital European Georges Pompidon di Paris. Kajian sejak 2004 dengan proses analisisnya memakan masa dua tahun, mendakwa lelaki yang mengidap kanser prostat, adalah dua kali ganda berkemungkinan menunjukkan tanda-tanda keguguran rambut atau botak seawal usia 20-an berbanding mereka yang tidak mengidap masalah itu.
    “Kajian mendapati, lelaki yang mula gugur rambutnya pada usia 30-an atau 40-an, tidak berdepan risiko kanser prostat sebaliknya mereka yang mula keguguran rambut pada usia 20-an mengalami risiko lebih tinggi mengidap kanser pada awal usia atau mengalami tumor yang lebih agresif.

    “Rambut gugur yang dikaitkan dengan masalah androgen juga ada kena mengena dengan kanser prostat,” katanya dalam kenyataan media yang dipetik Persatuan Perubatan Onkologi Eropah, baru-baru ini.

    Dr Giraud berkata, biarpun sehingga kini tiada bukti kukuh menunjukkan manfaat proses saringan terhadap orang awam bagi mengesan kanser prostat, penyelidik perlukan cara berkesan bagi mengenal pasti lelaki yang berisiko tinggi menghidap penyakit barah berkenaan.

    Sehubungan itu, beliau dan rakan penyelidik akan membuat lebih banyak kajian lanjut bagi melihat sama ada campur tangan kaedah rawatan mungkin bersesuaian bagi lelaki yang mengalami botak pada usia muda.
    “Pakar perubatan perlu tahu siapa sasaran saringan dan dipertimbangkan untuk pencegahan kemoterapi.

    “Botak pada usia 20-an mungkin boleh jadi faktor risiko paling mudah untuk mengesan masalah ini, begitupun banyak lagi kajian perlu dilakukan untuk mengesahkan penemuan ini,” katanya yang juga Profesor bidang radiasi onkologi Universiti Descartes Paris.

    Menerusi kajian itu, kumpulan penyelidik itu menyedari corak botak lelaki (androgenic alopecia) sangat biasa berlaku dan dialami separuh dari keseluruhan lelaki pada satu peringkat dalam kehidupan mereka. Sebelum ini, pencetus penyakit ini dikaitkan dengan perubahan testosterone kepada hormon androgenic.

    Bagi memeriksa dengan teliti kemungkinan hubungan antara corak rambut botak dengan kanser prostat, pasukan penyelidik Perancis mengambil masa dua tahun menganalisa perkembangan penyakit dan corak keguguran rambut terhadap 388 lelaki yang mengalami kanser prostat berusia antara 46 hingga 84 tahun.

    Bermula pada 2004, penyelidik meminta mereka menunjukkan sama ada pernah mengalami masalah botak sebelum ini, bila masalah rambut gugur bermula dan secara khusus jenis rambut gugur yang berlaku ketika berusia 20, 30 dan 40 tahun.

    Kajian mendapati 37 pesakit kanser prostat (dan 14 lelaki sihat) mengalami beberapa bentuk keguguran rambut pada usia 20 tahun, seperti penyusutan rambut di dahi kepada botak bertompok di atas kepala atau kombinasi kedua-duanya. Dalam kajian itu sebarang bentuk keguguran rambut pada usia 20 tahun dikaitkan dengan bergandanya risiko kanser prostat, yang mana tanpa corak khusus keguguran rambut menjadikannya risiko yang lebih mudah dijangka berbanding risiko lain.

    Biarpun pasukan penyelidik enggan membuat kesimpulan bahawa masalah botak dan kanser prostat saling berkaitan, seorang lagi pakar Amerika Syarikat iaitu Dr Nelson Neal Stone, Profesor Klinikal Urologi dan Radiasi Oncology di Mount Sinai School of Medicine, New York City bersetuju bahawa hasil kajian berkenaan boleh dipertimbangkan.

    “Kita juga sedar wujudnya faktor genetik yang menjadikan kanser prostat lebih tersebar luas. Sebagai contoh, lelaki yang ada kaitan persaudaraan seperti bapa saudara, bapa atau abang yang disahkan kanser prostat adalah 2.5 hingga tiga kali lebih berisiko alami barah prostat berbanding lelaki tanpa sejarah keturunan. Genetik juga memainkan peranan kepada lelaki yang mengalami rambut gugur pada usia muda,” katanya.

    INFO: Barah prostat

  • Turut digelar penyakit orang tua kerana lambat merebak

  • Kira-kira 90 peratus dari sel barah ini merebak ke tulang selain kawasan lain termasuk pundi kencing.

  • Isi padu ketumbuhan ini berlipat ganda setiap 4 tahun.

  • Penduduk di California, Amerika Syarikat adalah 100 kali lebih ramai dijangkiti barah ini berbanding penduduk Cina di Shanghai.

  • Mitos bisul





    Bisul pada peringkat serius dipanggil Necrotising facitis atau bakteria yang memakan isi.


    Elak makan lauk, telur lambatkan proses surut 



    BISUL adalah masalah jangkitan biasa dialami setiap orang sama ada kanak-kanak atau orang dewasa. Jangkitan bermula apabila bakteria atau parasit pada kulit merebak ke lapisan dalaman kulit menyebabkan ia kemerahan, bengkak, berisi nanah dan menyakitkan. Jenis bakteria paling biasa menyebabkan bisul pada kulit dikenali sebagai Staphylococcus Aerues.

    Individu tertentu boleh mengalami masalah bisul atau jangkitan begini akibat diabetes, amino yang terjejas, HIV, tercedera serta imuniti yang rendah terutama pada kanak-kanak dan warga tua.
    Pakar Perunding Pembedahan Ortopedik, Pusat Perubatan Prince Court, Dr Yong Chee Khuen, berkata biasanya bisul berlaku disebabkan kecederaan atau kemalangan yang tidak dirawat sempurna dengan kadar segera hingga menyebabkan terbentuknya ulser atau keradangan dalam kulit sehingga dijangkiti bakteria.

    “Sekiranya berlaku jangkitan peringkat awal, ia dipanggil cellulites - sifatnya merah, sakit dan panas. Jika di dalam kulit atau bisul, sifatnya akan terbentuk kumpulan nanah di dalam rongga manakala peringkat lebih serius dipanggil Necrotising facitis atau bakteria yang memakan isi," katanya kepada Berita Minggu.

    Simptom utama proses keradangan atau jangkitan adalah kemerahan, panas, bengkak dan rasa sakit. Ia bukan saja terbentuk pada sebarang tisu pejal pada permukaan kulit, malah sering juga berlaku pada organ dalaman seperti paru-paru, otak, buah pinggang dan tonsil.

    Sekiranya jangkitan berlaku sehingga terbentuk bisul, rawatan pilihan ialah pembedahan. Begitupun, sebelum pembedahan dijalankan, antibiotik akan diberi selain ujian darah bagi mengenal pasti masalah lain.
    Bagi kanak-kanak yang lebih gemar berdiam diri dan tidak tahu di mana lokasi jangkitan sebenar, imbasan MRI dan CT akan dijalankan.

    Bisul disebabkan amino yang terjejas pula mampu merebak melalui darah. Di sini darah berfungsi sebagai lebuh raya dan menyebarkan bakteria ke seluruh tubuh. Oleh itu, remaja yang tidak menjaga kebersihan diri pasti akan terkena jangkitan ini.

    Bagaimanapun, punca paling lazim adalah sifat kulit itu sendiri yang mudah terdedah kepada anasir yang tidak baik. Kulit bukan saja organ tubuh paling besar, malah berfungsi sebagai mekanisme pertahanan diri yang penting.

    Setiap inci kulit diseimbangkan dengan bakteria baik dan bakteria tidak baik. Bakteria baik tidak akan membawa sebarang masalah tetapi sebaik saja tubuh kekurangan imuniti atau ketahanan diri, kecederaan kecil saja sudah mampu menyebabkan jangkitan. Tidak dinafikan kebersihan diri cukup penting tetapi perlu diingat terlalu bersih juga tidak baik kerana kita akan membunuh kedua-dua bakteria ini.

    Jelas Dr Yong lagi, bisul yang biasa dan tidak serius boleh dirawat menggunakan antibiotik dan pembedahan. Tapi bagi bisul disebabkan amino yang terjejas, boleh merebak dengan cepat pada tisu dalam tubuh menyebabkan kegagalan beberapa organ dalaman. Dalam apa juga keadaan, pencegahan adalah perkara terbaik termasuk penjagaan kebersihan diri yang rapi dan imuniti diri lebih tinggi.

    “Sekiranya simptom awal seperti merah, bengkak, sakit dan demam berlaku, terus berjumpa doktor bagi mengelak jangkitan merebak lebih ke dalam kulit.

    “Di rumah, sebagai langkah awal ibu bapa boleh mencuci luka dengan menggunakan air panas, antiseptik dan iodin. Namun jika ia semakin membengkak, pesakit akan mula berasa tidak sihat, demam, luka menjadi kemerahan dan mula merebak, cepatlah berjumpa doktor,” katanya.

    Dari segi pemakanan, mengamalkan diet seimbang disarankan bagi mempercepatkan penyembuhan.

    “Terlalu banyak pantang larang dalam masyarakat seperti ayam, udang, ikan dan telur yang dipercayai menyebabkan kegatalan. Ironinya untuk sembuh, kita memerlukan hemoglobin, albumin serta Vitamin C dan semua nutrien ini terkandung dalam diet yang disebutkan itu.

    "Perlu diingat, bisul pada kebanyakan bahagian tubuh agak sukar untuk sembuh dengan sendirinya. Kerana itu, sekiranya tanda awal bisul muncul, rawatan perubatan segera perlu diberikan," katanya.

    Obses kurus





     Farahvina Kaur tertekan, degupan jantung rendah gara-gara mahu langsing

    “USIA saya hanya 14 tahun apabila rakan sekolah dan saudara mara menegur peha saya besar dan ejek muka saya bulat. Saya tertekan dan berasakan diri tidak sempurna. Setiap kali memandang cermin, saya benci melihat imej badan yang terpampang.

    “Ketika itu, bermulalah keinginan melampau untuk kurus dan melakukan apa saja demi mencapainya. Saya muntahkan makanan dan mula menghukum diri jika gagal menurunkan berat badan.”

    Begitulah trauma Farahvina Kaur, 21, ketika berkongsi derita anoreksia dialaminya sejak tujuh tahun lalu, dalam satu pertemuan dengan SIHAT, baru-baru ini. Anoreksia - masalah tabiat makan celaru yang bukan setakat membabitkan aspek pemakanan tetapi turut menyentuh sudut psikologi penghidapnya.
    Mengimbas kembali episod suram itu, Farahvina berkata kerana tidak tahan sering menjadi bahan ejekan, dia berubah menjadi rendah diri dan berasakan diri serba tidak sempurna. Rutin hariannya - mencubit bahagian berlemak di tubuh dan mengukurnya. Bayangkan sejak usianya masih belasan tahun dia sudah mula berjinak-jinak dengan pelbagai cara untuk menghilangkan berat badan tetapi tidak berjaya kerana kurang pengetahuan mengenai cara paling mudah dan berkesan.

    “Keadaan bertambah teruk apabila menyertai Latihan Khidmat Negara. Selama tiga bulan, saya memilih untuk mengelak nasi sebaliknya makan empat keping biskut setiap kali waktu makan menyebabkan berat badan turun mendadak daripada 46 kilogram kepada 38 kilogram sejurus tamat latihan,” katanya turut melakukan senaman secara kerap serta hanya memakan gula dalam kuantiti kecil bagi membekalkan tenaga saja.

    “Apabila pulang, kulit saya terkena selaran matahari yang teruk membuatkan saya berasa lebih hodoh dan terus hilang selera makan. Saya mula membeli alat penimbang berat badan dan memantau berat setiap masa sehingga mencapai berat paling rendah iaitu 33 kilogram ketika berusia 18 tahun sedangkan ketinggian saya melebihi lima kaki.

    “Sejak itu keluarga dan kawan-kawan mula memberi komen saya terlalu kurus tetapi saya sudah tidak nampak semua itu. Setiap kali sasaran berat badan tercapai, saya rasa saya perlu hilang lebih banyak lagi (berat badan). Entah bagaimana, saya mula menyedari apa yang berlaku sudah tidak normal dan harus menamatkannya. Untuk seketika saya berasa lebih sihat dan berat badan saya meningkat kembali kepada 38 kilogram,” katanya.
    Tetapi, malangnya tahun ini, keadaan kembali huru-hara apabila penuntut bidang Pengurusan dan Pemasaran sebuah kolej terkemuka di ibu kota ini tidak berpuas hati dengan berat badannya yang meningkat 43 kilogram.

    “Saya sangat tertekan dan mula obses untuk kurus sehinggakan mengikut apa saja teguran orang. Saya jadi orang yang terlalu negatif dan mula membeli buku khusus kalori, semata-mata untuk mengira jumlah kalori diambil setiap hari. Ini termasuklah menyertai laman sembang anoreksia dan obses dengan semua nasihat dan panduan yang diberikan laman web berkenaan. Dalam fikirsan saya tulang adalah satu simbol kecantikan dan lemak adalah lambang kegagalan,” katanya.

    Pernah pada satu tahap kronik, Farahvina membuang semua cermin di rumahnya dan mula menghukum diri dengan mencalarkan peha, melakukan senaman berat keterlaluan, melompat, menari dan berlari serta hanya makan sebiji epal, lobak merah dan minuman diet, setiap hari. Makanan yang diambil itu pula biasanya dimuntahkan dan jika boleh, dia cuba mengelak makan. Di kolej pula dia lebih rela menaiki tangga sehingga tingkat 10 setiap hari, tanpa menggunakan lif bagi memastikannya semua lemak badannya dibakar.

    “Hanya orang yang mengalami tekanan perasaan dan gangguan mental akan menyeksa tubuhnya begini dan akibatnya saya pernah pengsan di kolej akibat kadar degupan jantung yang rendah. Titik tolak bagaimana saya benar-benar berubah adalah bila orang mula menuding jari menyalahkan ibu bapa saya dengan pelbagai tuduhan. Padahal merekalah orang pertama yang mencuba pelbagai cara untuk memulihkan saya sehinggalah saya bersetuju untuk menjalani rawatan terapi pakar psikologi.

    Selepas dua bulan menjalani rawatan Farahvina merasa gembira, lebih sihat dan berkeyakinan diri. Malah berat badannya pada Julai lalu 28 kilogram kini meningkat 31.15 kilogram.

    “Nasihat saya kepada remaja di luar sana, sayangilah diri anda dan lakukan sesuatu yang anda gemar dan kelilingi diri anda dengan insan-insan yang anda sayangi. Remaja masa kini lebih suka menjadikan rakan sebaya sebagai rujukan, ia merbahaya kerana silap langkah anda yang akan menerima padahnya. Kepada ibu bapa, jadilah sahabat dan juga pembimbing kepada anak-anak, peka dengan perubahan anak-anak dan ambil berat jika anak mula memberi banyak alasan untuk bersendirian serta suka berahsia. Jangan terlalu mendesak mereka dan terimalah mereka seadanya.”

    ‘Haid terjejas, buah pinggang gagal’

    SEPERTI anoreksia, masalah bulimia atau bulimia nervosa juga antara masalah kesihatan akibat tabiat makan yang bercelaru. Pesakit bulimia akan makan makanan kegemaran dalam jumlah banyak dan kemudian memuntahkannya semula.

    Malangnya, bukan saja makanan tetapi asid perut turut dimuntahkan bagi memastikan tiada makanan tersisa. Lazimnya penghidapnya bertindak menjolok anak tekak atau menggunakan pelbagai cara seperti julap dan diuretik (buang air besar atau kecil). Ini dilakukan kerana terlalu ingin mengurangkan berat badan dan pada masa sama masih boleh memakan makanan kegemaran mereka.

    Menurut Perunding Psikiatri & Hipnoterapi Klinikal Pusat Perubatan Prince Court, Dr Daniel Zainal Abdul Rahman, bulimia ada beberapa kriteria seperti episod makan berulang-ulang dan berlebihan daripada biasa, dalam jangkamasa singkat).

    “Kedua, timbul rasa menyesal selepas makan yang membawa kepada perbuatan memuntahkan semula makanan dengan menjolok anak tekak dan melakukan senaman keterlaluan dan juga berpuasa secara keterlaluan.

    “Ketiga, pesakit bulimia menilai diri, kehidupan dan kecantikan diri hanya berasaskan kepada penampilan, berat badan dan makanan. Mereka hanya memikirkan cara bagaimana untuk mengurangkan berat badan kerana di fikiran diri sentiasa gemuk dan tidak menarik. Keempat, aktiviti harian terganggu kerana gaya hidup yang terlalu berahsia, suka menghilangkan diri kerana mahu memuntahkan makanan menyebabkan mereka kurang bersosial dan kurang berkawan. Malah pesakit ini sanggup mengubah dan menyesuaikan gaya hidup mengikut tabiatnya yang suka memuntahkan makanan,” jelas Daniel ketika ditemui baru-baru ini.

    Menurutnya, pesakit bulimia boleh dikenali kerana tabiat pemakanan yang celaru memberi kesan paling jelas pada gigi dan mulut. Akibat kerap muntah, berlaku hakisan pada enamel gigi, kerosakan gigi dan jangkitan pada gusi. Tabiat kerap muntah juga menyebabkan berlakunya ketidakseimbangan garam dalam tubuh (elektrolit). Ia boleh menyebabkan kekejangan dan degupan jantung yang tidak teratur.

    “Bulimia akan memberi kesan buruk kepada seluruh tubuh seperti tidak datang haid, cenderung untuk sembelit dan dehidrasi akibat penyalahgunaan diuretik dan laksatif, tinggi kalori dan nutrien dari makanan seperti kek, kuih muih, ais krim dan makanan segera. Kulit kering dan berkedut, kekurangan zat, rambut dan kuku mudah pecah. Malah kekurangan mineral dan vitamin juga boleh menyebabkan penyakit kronik seperti kegagalan buah pinggang.”

    Seperti masalah psikologikal lain, bulimia tidak disebabkan oleh satu faktor sebaliknya gandingan beberapa faktor termasuk budaya penjenamaan sosial yang sering dipaparkan media cetak dan elektronik seperti tubuh langsing dan kulit cerah yang dilabelkan sempurna dan ideal.

    “Ia membawa pula kepada faktor pencetus yang kerap menimpa peragawati, model dan artis ternama. Ini termasuklah remaja yang baru memasuki usia akil baligh yang sangat rapuh jati diri dan masih mencari identiti. Bayangkan apa kesan komen bersahaja ibu, bapa, rakan atau saudara seperti “peha awak besarlah,” atau “muka awak bulatlah.” ke atas mereka.

    Faktor memudaratkan iaitu gemuk adalah hodoh dan kurus adalah cantik, faktor genetik dan faktor gangguan imej tubuh (lebih kepada anoreksia) juga memberikan kesan psikologi kepada pesakit.

    Jika dibandingkan dengan aneroksia (pesakit mengelak dari menjamah makanan) bulimia lebih mudah untuk dipulihkan. Pakar psikologi bukan saja perlu menjalankan terapi kepada pesakit tetapi keluarga pesakit juga perlu diberi pengetahuan dan disedarkan mengenai masalah mental yang dilalui pesakit dan bagaimana untuk menghadapinya.

    Merawat pesakit bulimia adalah usaha bersama pelbagai pihak. Pakar perlu meyakinkan pesakit bahawa dia perlu percaya, sanggup bekerjasama dan bersifat terbuka untuk pulih sepenuhnya kerana banyak pembaharuan dan perubahan yang perlu dilakukan membabitkan gaya hidup pesakit dan keluarga. Motivasi pesakit perlu dibangunkan kerana untuk pulih ia masih bergantung kepada disiplin dan kekuatan dalaman pesakit

    “Pesakit bulimia terlalu tertekan dan sangat beremosi, jadi mengikut fasa tertentu kami mengajar mereka teknik untuk membina harga diri, bertenang, menilai semula cara senaman mereka dan mengubahsuai cara mereka bersenam selepas mengenalpasti masalah psikologikal lain seperti depresi, kegelisahan dan tahap penyalahgunaan bahan diuretik dan julap.

    Wednesday, September 14, 2011

    Beban batu karang


                      Pakar gambarkan kesakitan lebih teruk daripada saat bersalin





    SAKIT batu karang sudah terlalu kerap kita dengar. Jika bukan diri sendiri, pasti ada rakan atau saudara mara yang mengadu pernah berdepan masalah yang menjejaskan kehidupan seharian.

    Apa tidaknya, ada yang sukar berjalan akibat kesakitan teramat sangat pada perut sehingga terpaksa cuti sakit. Apakah sebenarnya masalah ini? Batu karang merujuk keadaan yang mana wujud sisa mineral halus seakan batu kristal di sepanjang saluran kencing. Saluran ini mengandungi organ seperti buah pinggang, ureter, pundi kencing dan urethra yang berfungsi menapis darah untuk membuang kekotoran yang kemudian disingkir dari tubuh.

    Pembentukan batu biasanya mula terbentuk di buah pinggang sebelum bergerak ke bahagian lain saluran kencing hingga tersumbat di tiub yang lebih kecil seperti batu pundi, batu uriterik dan batu buah pinggang menyebabkan pesakit merasa sakit yang teramat sangat.
    Pakar Perunding Urologi Hospital Pakar KPJ Kajang, Dr Mohd Ridzwan Yusof berkata kelompok usia yang sering mengalami masalah ini adalah antara 20 hingga 40 tahun. Ada juga yang berlaku pada usia di bawah 20 dan melebihi 40 tahun, walau bagaimanapun kes begini adalah jarang.

    Penyakit batu karang lebih mudah menyerang lelaki berbanding wanita iaitu pada nisbah tiga lelaki bagi setiap seorang wanita. Ini disebabkan lelaki memiliki hormon testosteron yang tinggi. Ini menjelaskan mengapa orang tua dan kanak-kanak jarang mendapat penyakit ini memandangkan hormon testosteron mereka rendah.

    “Punca utama terbentuknya batu karang terbahagi kepada faktor luaran membabitkan diet yang tinggi kandungan bahan kimia atau purine. Bahan kimia ini ada di dalam organ dalaman haiwan, angsa, ekstrak daging, makanan laut, telur ikan dan arak,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

    Faktor lain penyebab batuk karang adalah kurang minum air, keadaan kerja yang tidak banyak pergerakan (seperti di pejabat atau kerjaya pemandu lori, teksi) dan kerja di luar yang terdedah kepada matahari. Tidak ketinggalan, faktor geografi iaitu negara Asia termasuk Malaysia yang ramai pesakit batu karang serta bangsa yang mana mereka berkulit cerah lebih mudah menghidapnya berbanding kulit hitam.
    Punca lain termasuk kadar mineral tidak seimbang, peningkatan hormon, pesakit yang menjalani pembedahan pintasan usus, kekurangan bahan-bahan pencegahan dalam air kencing (citrate, magnesium dan zink), jangkitan saluran kencing dan laluan kencing yang tidak normal.

    “Kajian sebelum ini pula menunjukkan 25 peratus pesakit batu karang mempunyai sejarah keluarga dan ini bermakna ia ada kaitan dengan faktor genetik. Malah antara penyakit genetik yang dikaitkan dengan batu karang termasuk renal tubular, tubalar acidosis dan cystinuria,” katanya.

    Dr Mohd Ridzwan berkata, tanda-tanda utama penyakit batu karang termasuk rasa senak secara mengejut dan berulang-ulang dan terlalu sakit hingga ada pakar yang menggambarkan kesakitannya lebih teruk daripada sakit bersalin, kencing berdarah, muntah-muntah dan kencing tak lawas.

    Bagi tanda-tanda yang agak lewat pula, adalah kegagalan buah pinggang, loya, muntah dan sesak nafas.

    Mengenai saiz batu karang, katanya, ia bergantung kepada di mana lokasi ia terbentuk sama ada di dalam buah pinggang yang mana ia boleh memenuhi semua rongganya dengan saiz maksimum sehingga 4 sentimeter.

    Dalam pundi kencing pula ia boleh memenuhi rongga itu sehingga 10 sentimeter dan di saluran uriter (antara buah pinggang dan pundi kencing) selalunya kurang daripada satu sentimeter.

    Mengikut kaedah konservatif, batu karang boleh dirawat dengan meningkatkan pengambilan air sebanyak 3 liter sehari, rawatan perubatan atau ubat-ubatan mengurangkan asid dalam air kencing; ubat penahan sakit, suntikan dan ubat-ubatan pemecah batu yang tidak spesifik bagi kes yang tidak serius.

    Apakah jenis batu dialami mereka? Menurut Dr Ridzwan, bagi 100 pesakit misalnya, kira-kira 80 peratus mengalami jenis batu kalsium, batu asid urik, struvite dan lain-lain.

    Bagi kaedah kurang invasif atau tidak membabitkan pembedahan, beberapa cara boleh digunakan mengikut tahap batu karang pesakit seperti gelombang Extracorporial shockwave lithotripsy (ESWL) khusus untuk batu bersaiz kurang dua sentimeter.

    Sesetengah batu seperti systine dan calsium oxalat monohydrate adalah sangat keras dan susah untuk dipecahkan menggunakan kaedah ini. Teknik ini juga tidak sesuai bagi mereka yang menghidap darah tinggi, masalah saluran darah mengambil ubat pencair darah dan batu yang dijangkiti kuman.

    PCNL atau Percutaneous Nephrolithotripsy merawat batu saiz lebih dua sentimeter; retrograde Intrarenal surgery (RIRS) merawat batu kurang satu sentimeter yang mana batu karang itu dipecahkan menggunakan laser.

    Apakah peluang pesakit untuk pulih? Biarpun hakikatnya, batu karang boleh pulih sepenuhnya, tetap ada kebarangkalian tinggi untuk berulang. Kajian di Amerika Syarikat menunjukkan 10 peratus pesakit boleh mengalami semula masalah itu dalam masa setahun, 35 peratus kes dalam masa lima tahun dan 50 peratus kes dalam masa 10 tahun.

    Namun masih ada kaedah untuk mengelak penyakit itu berulang iaitu menerusi pengambilan air yang mencukupi sekurang-kurangnya tiga liter sehari. Di samping itu, menjaga pemakanan dengan mengamalkan diet rendah purin seperti bijirin, roti dan bihun, telur, hasil tenusu dan minuman seperti teh, kopi dan coklat.

    Bagaimana pula dengan masyarakat yang sebaliknya lebih cenderung berjumpa pengamal perubatan alternatif terlebih dulu sebelum mendapat nasihat pakar?

    Persepsi ini, kata Dr Mohd Ridzwan, harus diperbetulkan.

    “Ada pelbagai cara dilakukan tetapi ada risikonya. Jika batu di buah pinggang itu tersumbat, anda dinasihatkan mendapatkan rawatan pakar dengan kadar segera kerana jika terlambat ia akan menyebabkan kerosakan buah pinggang atau kematian andai ada jangkitan kuman yang merebak dan menyebabkan keracunan dalam darah.

    “Tidak salah menjalani rawatan sebegini kerana sebahagian besar pesakit saya melakukannya...cuma saya nasihatkan sekiranya anda melakukan rawatan alternatif ini sila pastikan anda diperiksa semula oleh pakar perubatan bertauliah di hospital untuk memastikan batu itu benar-benar sudah berjaya dikeluarkan.”

    Kerap demam tanda SLE





     Nonie bersama ibu tersayang, Adzizah Ramdzan, ketika dirawat sebelum ini. Gambar kecil adalah gambar terbarunya.


    Nas Norniza juga sering sakit sendi dan lenguh badan

    HARI bahagia yang bakal dilalui sebagai pengantin baru akhir bulan ini pastinya menambah tekanan kepada wanita ini selepas disahkan menghidap penyakit Sistemik Lupus Eritematosus (SLE) atau Lupus.

    Apa tidaknya, ketika bakal pengantin lain sibuk membuat persiapan, Nas Norniza Nasbah, 26, sebaliknya dikejutkan dengan berita menghidap SLE, April lalu.
    “Bagaikan tidak percaya...rupanya demam yang kerap menyerang tanpa henti awal tahun ini, lenguh badan dan sakit sendi adalah simptom awal menghidap penyakit itu,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

    SLE adalah penyakit kronik berpanjangan yang berlaku akibat kecelaruan sistem pertahanan tubuh membabitkan sistem auto imun badan apabila sistem pertahanan menyerang tubuh. Sistem pertahanan tubuh adalah rangkaian sel yang bertindak melindungi tubuh daripada serangan benda asing.

    Penyakit ini ada kalanya sukar didiagnos pada peringkat awal kerana gejala-gejalanya tidak begitu ketara. Ini adalah kerana gejala awal penyakit SLE tidak spesifik termasuk rasa letih lesu, demam, sakit sendi dan keguguran rambut. Kebanyakan pesakit SLE (70 hingga 80 peratus) mengalami masalah kulit. Selalunya bahagian muka akan terjadi ruam yang dikenali sebagai malar rash atau butterfly rash.
    Ruam ini terjadi di bahagian pipi dan hidung dan oleh kerana bentuk ruam ini merupai bentuk sayap rama-rama, ia juga dikenali sebagai butterfly rash.
    “Bayangkan jika anda di tempat saya...persiapan hampir siap sepenuhnya. Perasaan sedih menguasai apabila diberitahu saya menghidapi penyakit ini. Pada mulanya, saya tidak risau atau sedih selepas dimaklumkan akan sembuh menjelang hari bahagia.

    “Namun harapan itu hampir musnah apabila seluruh badan dipenuhi kesan ruam termasuk muka. Ruam yang memenuhi badan beliau itu akibat penyakit Steven Johnson iaitu alahan kepada ubat.

    “Sebaik saja dibenarkan keluar daripada hospital swasta di Alor Star, Kedah, saya berehat di rumah keluarga. Seminggu selepas itu, saya mengalami kesan ruam dan ulser penuh di mulut. Keadaan bertambah teruk dengan deria penglihatan yang bertambah kabur hari ke hari.

    “Tidak cukup dengan itu, kesan daripada penyakit SLE ini, saya sentiasa lemah. Tapak kaki dan tangan saya sentiasa panas dan setiap malam, saya tidak dapat tidur lena kesan daripada rasa panas," katanya.

    Ditanya apakah yang membuatkan beliau bersemangat melawan penyakit ini walaupun tahu kesan dalam kehidupan seharian beliau, Nas Norniza yang lebih mesra dipanggil Nonie, tersenyum lantas menjawab, salah satu faktor utama ialah mementingkan masa depannya, termasuk untuk bergelar isteri dan seterusnya berkeluarga.

    Walaupun ramai yang berpesan untuk tidak memikirkan hal itu, namun Nonie punya alasan tersendiri mengapa perlu fikir perkara itu.
    “Semua orang di sekeliling saya memberi kata-kata sokongan untuk kuat dan berfikiran positif walaupun muka saya seperti melecur pada peringkat awal dan agak sukar untuk sembuh dalam tempoh terdekat.

    “Untuk berfikiran positif, saya mengandaikan, hanya perkahwinan membuatkan saya gembira dan bersemangat untuk terus melawan rasa sakit,” katanya.

    Anak muda yang bekerja di salah sebuah syarikat penerbangan tambang murah terkenal di negara ini memberitahu, dia juga tidak bergantung kepada ubat semata-mata sebaliknya mendekatkan diri dengan Allah SWT dan sentiasa berdoa kepada-Nya.

    “Setiap hari saya berdoa dan saya yakin abah dan mama juga tidak henti berdoa agar kesihatan saya cepat sembuh. Saya akui sokongan keluarga dan orang sekeliling amat penting bagi dalam mengharungi hari-hari sebagai pesakit SLE.

    “Sewaktu disahkan doktor mengenai penyakit ini, hampir setiap hari saya lihat, abah dan mama menangis apabila memeluk saya tidak kira di rumah atau di hospital. Mereka bagaikan tidak percaya apa yang berlaku kepada saya.

    “Pernah sampai satu tahap, saya meminta mereka yang datang melawat supaya tidak menangis kerana saya perlukan sokongan dan bukan air mata untuk melawan penyakit ini,” katanya.

    Beliau memberitahu, sebelum terlantar di hospital selama dua minggu, dia masih sempat menghadiri kursus perkahwinan.

    “Orang mungkin kata saya seperti terdesak tetapi ini adalah cara saya melawan kesakitan saya. Bagi saya tiada apa yang mustahil. Saya ada membaca pelbagai maklumat mengenai SLE dan ramai pesakit penyakit ini masih mampu meneruskan kehidupan mereka bersama keluarga masing-masing,” katanya yang bercadang menjadi ahli persatuan SLE selepas selesai majlis perkahwinannya nanti.


    Wanita Asia antara majoriti penghidap

    LUPUS pada dasarnya adalah penyakit berkaitan kecelaruan sistem auto imun. Masalah auto imun adalah penyakit yang berlaku apabila tisu badan diserang sistem imun atau pertahanannya sendiri. Sistem imun adalah satu sistem yang kompleks dalam tubuh, direka khusus untuk menyerang ejen-ejen jangkitan seperti bakteria dan mikrob asing. Satu cara sistem imun menyerang jangkitan ialah dengan menghasilkan antibodi yang terikat dengan mikrob.

    Mereka yang menghidap lupus menghasilkan antibodi yang tidak normal dalam darah yang tertarik untuk menyerang tisu dalam tubuh mereka sendiri berbanding ejen jangkitan asing. Oleh kerana antibodi dan sel yang mengiringi keradangan boleh menjejaskan tisu di mana saja dalam tubuh, lupus punya potensi untuk menjejaskan banyak bahagian tubuh. Masalah lupus menjejaskan sistem organ seperti kulit, sendi, dan organ dalaman.

    Sebab yang tepat bagi menjelaskan mengapa masalah auto imun tidak normal boleh menyebabkan lupus masih tidak diketahui. Faktor seperti diwarisi secara genetik, virus, sinar ultra ungu dan ubatan tertentu adalah kebarangkalian yang ada memainkan peranan.

    Perunding Perubatan dan Rheumatologi Hospital Columbia Asia Bukit Rimau, Dr Kuan Woon Pang, berkata faktor genetik meningkatkan kemungkinan akan terhasilnya penyakit auto imun dan penyakit auto imun seperti lupus, rheumatoid arthritis, dan gangguan auto imun thyroid adalah paling biasa dialami dikalangan mereka yang punya pertalian dengan pesakit lupus namun dalam kes tertentu ia tiada kena mengena dengan sejarah keluarga.

    “Lupus boleh dihidapi lelaki dan wanita. Bagaimanapun 90 peratus penghidap lupus adalah wanita yang mana lazimnya dihidapi pesakit berusia antara 10 hingga 50 tahun terutama mereka yang berketurunan Afrika-Amerika dan juga Asia,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

    Gejala penyakit ini berbeza-beza dan meluas serta boleh menjejaskan beberapa bahagian tubuh. Pada otot skeletal ia menjejaskan sendi dan menyebabkan sakit sendi yang ringan hinggalah kepada serius. Lupus juga boleh menyebabkan athritis pada tangan. Kulit pula boleh terjejas oleh ruam, jangkitan kulit dan bintil lebam yang menyakitkan.

    Buah pinggang menghasilkan deposit protin dan boleh menyebabkan kegagalan renal, dan pesakit memerlukan dialisis. Sistem saraf boleh menyebabkan disfungsi mental, sawan, psikosis dan sakit kepala yang teruk. Darah beku boleh terbentuk begitu juga pulmonari embolism. Jantung pula boleh menyebabkan sakit dada, endocraditis, dan myocarditis. Gejala pada jantung berkemungkinan ada kaitan dengan dengan kesan yang diberikan Lupus pada darah, akibat pembekuan yang boleh berlaku.

    Sesak nafas begitu juga pleurisy boleh terjadi di dalam paru-paru akibat Lupus.

    Ada dua jenis lupus - pertama dan yang paling lazim adalah Discoid Lupus erythematosus (DLE) yang hanya menjejaskan bahagian kulit yang terdedah manakala jenis yang lebih serius dipanggil Systemic Lupus Erythematosus (SLE) yang menjejaskan sistem tubuh termasuk kulit.

    Bagi pesakit DLE, ruam bermula dengan beberapa tompok kemerahan, keras dan kasar dan meninggalkan parut. Tompok ini di muka, di belakang telinga dan di kulit kepala. SLE menyebabkan pelbagai gejala. Ruam merah yang bertompok serta berbentuk rama-rama muncul di pipi dan bawah hidung. Gejala lain termasuk sakit sendi, demam, hilang selera makan, loya, kelesuan, dan hilang berat badan.

    Ada juga gejala seperti anaemia, masalah psikiatrik dan neurologi, kegagalan buah pinggang, pleurisy, arthritis dan pericarditis. Diagnosis dilakukan dengan ujian darah dan juga biopsi kulit.

    Penghidap SLE yang ringan mampu menikmati tahap kesihatan yang hampir normal untuk jangka waktu yang panjang; dengan rawatan ubat corticosteroid dan immunosuppressant juga dapat memanjangkan jangka hayat. Walaupun terdapat pelbagai pilihan rawatan untuk tahap Lupus Erythematosus yang tertentu, SLE adalah penyakit yang berpotensi untuk membawa maut.

    “Bentuk rawatan Lupus perlu menumpu kepada kesan sampingannya. Tiada penawar untuk penyakit ini, jadi perkara yang mampu dilakukan pesakit adalah dengan mengurangkan gejalanya. Ubat anti keradangan diberikan untuk kesakitan arthritis begitu juga pleurisy. Ruam kulit boleh dibantu dengan corticosteroids, yang biasanya datang dalam bentuk krim atau losyen bukan saja untuk menghilangkan ruam tetapi juga untuk melegakannya. Gejala yang teruk perlu diperiksa oleh pakar menerusi pemantauan yang rapi terhadap jenis gejala selain pelbagai cubaan ujian dilakukan bagi mengesan jenis rawatan paling berkesan.

    Bagi anda yang perlu hidup dengan lupus sepanjang hayat, beralih kepada amalan gaya hidup yang sihat seperti diet yang seimbang dan melakukan aktiviti senaman ringan secara terancang. Persekitaran yang bebas dari tekanan juga sangat membantu.

    INFO

    • Ada dua jenis lupus iaitu Discoid Lupus erythematosus (DLE) dan Systemic Lupus Erythematosus (SLE)
    • DLE hanya menjejaskan bahagian kulit yang terdedah manakala jenis yang lebih serius, SLE menjejaskan sistem tubuh termasuk kulit.
    • Bagi pesakit DLE, gejala termasuk ruam dengan beberapa tompok kemerahan, keras dan kasar dan meninggalkan parut.
    • Bagi SLE, ia menyebabkan pelbagai gejala seperti ruam merah yang bertompok serta berbentuk rama-rama muncul di pipi dan bawah hidung. Gejala lain termasuk sakit sendi, demam, hilang selera makan, loya, kelesuan, dan hilang berat badan.
    • Ada juga gejala seperti anaemia, masalah psikiatrik dan neurologi, kegagalan buah pinggang, pleurisy, arthritis dan pericarditis. Diagnosis dilakukan dengan ujian darah dan juga biopsi kulit.

    Bedah untuk kurus


     DERITA M Balagi yang mempunyai berat 280 kilogram mendapat perhatian Ketua Pemuda MIC Pulau Pinang , J Dhina (kanan).





    OBESITI adalah masalah kesihatan yang sekian lama dicelaru dan dikelirukan dengan masalah dan kepentingan kosmetik. Kegemukan, berat badan berlebihan, obesiti mahupun gemuk melampau menjurus pada masalah yang sama pada dasarnya, namun hakikatnya setiap satu istilah itu membawa maksud dan implikasi berbeza.

    Perbezaan istilah ini diperjelaskan menerusi kiraan unit kadar khusus untuk mengklasifikasikan berat tubuh seseorang itu jatuh dalam kategori tertentu. Di seluruh dunia, berat tubuh seseorang dikira menggunakan ukuran Indeks Jisim Tubuh atau Body Mass Index (BMI).
    BMI adalah cara kiraan paling mudah di mana berat badan dalam kilogram dibahagi kepada tinggi individu dalam unit meter kuasa dua. Ini dilakukan bertujuan mendapatkan berat badan mengikut kesesuaian ketinggiannya.

    Misalnya jika seseorang dengan berat badan 150 kilogram tetapi fizikalnya tinggi, jisim itu bersesuaian dengan tubuh, sebaliknya jika individu itu 80 kilogram dan rendah, berat itu akan menimbulkan masalah kesihatan buatnya.

    Bagi orang Asia, kategori unit berbeza dengan kategori yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) kerana memiliki rangka tubuh lebih kecil berbanding orang barat.

    Perunding Pembedahan Am, Bariatrik dan Pembedahan Kurang Invasif, Hospital Pakar Ampang Puteri, Dr Jasmi Ali Yaakub, menjelaskan setiap kali berhadapan dengan pesakit yang bimbang mengenai kegemukan, perkara pertama yang akan dilakukan ialah mengukur kadar BMI pesakit berkenaan.
    “Sebagai orang Asia, kata sepakat yang dicapai hasil rundingan anggota persatuan obesiti sekitar Asia pada 2004 membuahkan natijah terbaik apabila berjaya menetapkan kadar BMI khusus untuk orang Asia,” katanya.

    Kadar itu menetapkan individu yang kiraan BMI antara 18 hingga 25 adalah normal, 25 hingga 27.5 (berat badan berlebihan), 27.5 hingga 32.5 (gemuk), 32.5 hingga 37.5 (obesiti kelas 1), 37.5 ke atas (morbid obesiti atau gemuk melampau) dan 50 ke atas dikategorikan sebagai ‘super obes’.

    Sekiranya BMI lebih 32.5, maka individu itu berada pada kategori obes, sebaliknya jika kurang, mereka hanya dianggap terlebih berat badan. Jadi bila ada unit sedemikian, lebih mudah untuk mengklasifikasi dan menjuruskan kaedah rawatan mengikut BMI pesakit.

    Bila seseorang itu jatuh dalam kategori obesiti dan dibiarkan tanpa rawatan, ia akan mengundang penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi, kolesterol tinggi, masalah jantung, masalah tulang khususnya tulang belakang dan tulang lutut serta masalah sistem pernafasan yang menyebabkan sesak nafas dan susah tidur.

    Individu yang terlalu berat atau ‘morbid obes’ juga berhadapan dengan kadar mati cepat atau kematian pramatang yang tinggi. Ini menunjukkan mereka yang gemuk melampau akan mudah mendapat penyakit kronik pada usia muda dan perlu pertolongan kerana ini bukan lagi masalah kosmetik, sebaliknya menjejaskan kesihatan dan mengancam nyawa.

    Menurut Dr Jasmi, obesiti perlu dirawat kerana banyak penyelidikan mendapati obesiti yang dirawat mampu menurunkan berat badan yang tinggi pada kadar 85 hingga 90 peratus. Penyakit kronik dihidapi mungkin sembuh 100 peratus atau dapat dikawal khususnya kencing manis ‘mellitus’ (jenis 2) dan darah tinggi disebabkan obesiti.

    Bagi pakar perubatan, rawatan obesiti perlu kerana ia akan membawa faedah yang baik kepada pesakit dalam jangka panjang. Faedah sampingan yang dinikmati apabila pesakit semakin kurus ialah berasa semakin sihat dan secara kosmetiknya kelihatan menarik.

    “Di seluruh dunia, apabila seseorang individu diklasifikasi sebagai ‘morbid obes’ (BMI 32.5), kami syorkan mereka menjalani pembedahan ‘bariatrik’ (pembedahan penurunan berat badan) menerusi kaedah laparoskopi. Tujuan pertamanya untuk menurunkan berat badan dan kedua, mengekalkan penurunan berat badan untuk jangka lama,” katanya.

    Bagaimanapun kaedah pembedahan yang dipilih bergantung pada pesakit. Banyak faktor yang perlu dibincangkan dan diambil kira oleh panel doktor dan juga pesakit seperti kedudukan kewangan, logistik, sokongan keluarga, keadaan kesihatan, kecergasan dan pelbagai lagi.

    Pesakit perlu faham menjalani pembedahan ‘bariatrik’ bermaksud sanggup untuk komited terhadap kesannya seumur hidup. Ia mengambil masa enam hingga setahun dan tahap paling penting ialah tiga hingga enam bulan pertama di mana penurunan berat badan akan berlaku secara mendadak.

    Pemantauan berat badan mengikut kadar yang dikehendaki amat penting oleh pakar yang akan mengira dan memantau sasaran penurunan berat badan dengan ketinggian dalam sebulan. Pesakit yang konsisten dengan rawatan susulan serta mengikut rejim diet yang disarankan pakar diet dan bersenam, punya potensi untuk sembuh dengan kadar segera.

    Apapun, masyarakat menerusi media massa perlu disedarkan mengenai pentingnya mengawal berat badan demi kelangsungan hidup selain kewujudan kaedah rawatan yang khusus bagi masalah obesiti.

    Selain persepsi dan kekaburan sedia wujud dalam kalangan masyarakat sekian lama, polisi insurans yang tidak melindungi pembedahan ‘bariatrik’ juga perlu dipinda kerana ia bukan kaedah digunakan untuk tujuan kosmetik, sebaliknya rawatan kesihatan yang mampu menyembuh dan mengawal pelbagai penyakit kronik sebutkan awal tadi.

    “Segalanya bermula dengan pencegahan. Masyarakat perlu melengkapkan diri dengan pengetahuan mengenai obesiti termasuk bagaimana melakukan kiraan BMI sendiri, selain mengamalkan gaya hidup sihat. Jangan membazir wang ke pusat penjagaan kecantikan kerana obesiti bukan masalah kosmetik sebaliknya mengancam kesihatan.

    “Berjumpalah pakar kesihatan bertauliah untuk berbincang mengenai keadaan kesihatan semasa anda.”

    Info
    Teknik pembedahan laparoskopi dan kaedah pembedahan ‘bariatrik’



  • Menggunakan teknik tebukan yang kurang invasif.

  • Memberikan kadar penyembuhan yang cepat dan selamat.

  • Secara keseluruhan, ada tiga kaedah pembedahan ‘bariatrik’.

  • Kaedah bariatrik pertama - ‘Laparoskopi Gastric Bending’.

  • Kaedah bariatrik kedua - ‘Sleeve Gastractomy’.

  • Kaedah bariatrik ketiga - Laparoskopi Pintasan Usus atau pintasan perut.

    Kesan selepas pembedahan ‘bariatrik’

  • Tidak boleh makan banyak kerana perut sudah dikecilkan.

  • Kalau makan banyak, akan muntah.

  • Murung atau sedih sebab tidak boleh makan banyak.

  • Letih

  • Mula seronok bila berat badan semakin menyusut.

  • Pesakit kronik akan mula sembuh, pertamanya bagi pernafasan atau masalah berdengkur.

  • Dalam tempoh 4-5 minggu, penyakit kencing manis dan darah tinggi lebih mudah dikawal.

  • Risiko dengkur


     Jangan anggap berdengkur masalah lazim, dapatkan nasihat pakar perubatan





    BERDENGKUR sering dianggap tabiat melucukan dan terlalu lazim dalam kalangan masyarakat, namun tahukah berdengkur sebenarnya gambaran awal seseorang itu bukan saja berhadapan masalah dengan pasangan dan kualiti kehidupan tetapi juga masalah kesihatan yang serius.

    Tabiat berdengkur berlaku apabila seseorang mengeluarkan bunyi bising semasa bernafas sewaktu tidur. Ia disebabkan saluran pernafasan separa tersumbat di bahagian hidung atau kerongkong, menyebabkan getaran lelangit lembut dan otot kerongkong yang menghasilkan bunyi. Terminologi perubatan untuk masalah ini disebut ‘steator’.
    Masalah ini biasanya dikesan menerusi diagnosis pakar perubatan dari segi sejarah pesakit atau pasangan tidur yang kerap mempunyai masalah untuk lelap akibat terganggu.

    Pesakit berdengkur juga boleh mengalami gejala mengantuk pada waktu siang, sakit kepala, keletihan, kelesuan, perasaan cepat marah, kerap bangun malam, masalah penumpuan dan kurang daya ingatan. Paling membahayakan sekiranya pesakit senang tertidur semasa memandu terutama ketika perjalanan jauh atau sedang menunggu di simpang lampu trafik.

    Menurut Pakar Bedah Otorinolaringologi Hospital Columbia Asia, Bukit Rimau, Dr Mazita Ami, punca berdengkur disebabkan saluran pernafasan separa tersumbat sewaktu tidur terutama sewaktu tidur nyenyak dan ia boleh dipengaruhi pengambilan alkohol atau ubat-ubatan sebelum tidur.

    “Saluran pernafasan tersumbat boleh berlaku pada bahagian hidung atau kerongkong atau kedua-duanya sekali. Oleh itu kehadiran tisu tonsil atau adenoid yang besar, polip hidung, tulang hidung yang bengkok dan pesakit yang berlebihan berat badan dan mempunyai leher pendek dan besar akan meningkatkan risiko masalah berdengkur,” katanya.
    Masalah berdengkur boleh dikaitkan dengan masalah tidur serius dikenali ‘sleep apnea’. Ia berlaku apabila pesakit berhenti bernafas lebih daripada 10 saat sewaktu tidur (apnea). Apnea pula boleh berlaku berulang kali sewaktu tidur dan menyebabkan pengurangan kandungan oksigen dalam darah pesakit.

    Jelasnya, ‘sleep apnea’ yang tidak dirawat boleh membawa masalah darah tinggi, sakit jantung, angin ahmar, glaukoma dan sebagainya. Kerana itulah juga masalah berdengkur lazimnya dialami pesakit lelaki dalam lingkungan usia 30 hingga 60 tahun terutama yang mempunyai masalah berat badan berlebihan.

    Adalah penting bagi pesakit mendapat nasihat pakar untuk mengetahui sekiranya mereka mempunyai masalah ‘sleep apnea’. Masalah ini mempunyai beberapa tahap serius mengikut hasil kajian tidur yang dijalankan ke atas pesakit di makmal tidur di hospital atau di rumah pesakit sendiri.

    Menerusi kajian ini, pakar akan dapat mengesan kekerapan ‘apnea’ semasa tidur kerana semakin kerap berlaku ‘apnea’, semakin serius tahap penyakit itu dan kesannya kepada kesihatan pesakit.

    Rawatan untuk masalah berdengkur bergantung kepada punca yang dikenal pasti. Pembedahan boleh dilakukan untuk merawat masalah saluran pernafasan sempit seperti tisu tonsil yang besar, polip hidung dan sebagainya. Sekiranya berkaitan dengan ‘sleep apnea’, rawatan ‘continuous airway pressure’ adalah antara yang berkesan.

    Pesakit yang obes juga dinasihat untuk mengurangkan berat badan.

    Tegasnya, berdengkur bukan masalah lazim yang patut diterima bila umur meningkat. Ia boleh membawa masalah ‘sleep apnea’ yang serius dan memudaratkan kesihatan pesakit. Mereka yang mengalami masalah tidur bersama gejala mengantuk waktu siang, sakit kepala, keletihan dan masalah emosi perlu mendapatkan nasihat pakar perubatan.

    Info
    Langkah pencegahan dengkur



  • Mengurangkan berat badan sekiranya mengalami masalah berat badan berlebihan.

  • Elak pengambilan alkohol atau ubat yang memberi kesan mengantuk sebelum tidur.

  • Memilih posisi tidur secara mengiring.

  • Mengamalkan jadual tidur yang tetap setiap hari.

  • Mendapatkan rawatan bagi hidung tersumbat atau ruang kerongkong yang sempit.

  • Pencetus alahan

    SETIAP pagi, anda bersin berulang kali hingga hidung dan matanya berair. Malah, garisan halus terbentuk pada batang hidungnya akibat tabiat menggosok hidung setiap kali terasa gatal.
    Lalu pelbagai andaian atau kemusykilan yang timbul - apakah ini masalah resdung atau sinus dan mungkinkah ini masalah selesema biasa? Bagaimanapun, selepas pemeriksaan dibuat, anda disahkan mengalami masalah alahan yang lazimnya wujud dalam pelbagai peringkat kehidupan dan dianggap sebagai lumrah.
    Alahan adalah satu tindak balas terlalu sensitif disebabkan oleh satu atau lebih bahan dalam persekitaran (debunga, habuk, makanan) yang melalui mekanisme sistem imun. Walaupun alahan jarang meragut nyawa, kesannya akan mengganggu kualiti hidup pesakit termasuk gejala fizikal dan tekanan emosi yang serius.

    Untuk mendapat alahan, pesakit perlu terdedah kepada alergen (bahan yang tidak merbahaya) yang menyebabkan tindak balas imun. Sistem imun terdiri daripada dua jenis sel darah putih iaitu T dan B. Ia membantu sistem imun mempertahankan tubuh dengan mengenalpasti bahan asing.

    Sebarang elemen berbahaya yang dikesan akan merangsang sistem pertahanan tubuh (mast cell) untuk melepaskan bahan kimia seperti histamines untuk memeranginya. Apabila sistem imun tersilap mengenalpasti elemen berbahaya, alahan akan berlaku terutama apabila berulang kali terdedah kepada bahan tertentu.

    Gangguan alahan boleh terjadi dalam pelbagai bentuk termasuk gangguan hidung dan sinus kepada alahan kulit, lelah dan makanan. Gejala-gejalanya juga berbeza dari ketidakselesaan ringan (hidung dan mata berair, bersin, gatal) kepada gejala yang lebih berat (sesak nafas, ruam, tindak balas alahan melampau atau anafilaktik).
    Pakar Bedah Telinga, Hidung dan Tekak yang juga Profesor di Jabatan Otorhinolaryngology Universiti Malaya, Dr Prepageran Narayanan, berkata jenis alahan yang dihidapi seorang kanak-kanak berkait rapat dengan betapa terdedahnya mereka dengan persekitaran sejak bayi.

    Katanya, pada awal kelahiran, biasanya mereka terdedah dengan bedak talkum, lampin pakai buang dan pakaian. Pada usia dua hingga tiga tahun mereka gemar memasukkan apa saja objek ke dalam mulut, empat hingga lima tahun mula bermain di taman permainan dan terdedah kepada persekitaran luar sehingga mula mendapat alahan.

    “Anda hanya akan mendapat alahan bergantung kepada apa yang didedahkan kepada anda. Sebab itu kadangkala ada pesakit yang datang mengadu pada mulanya tiada masalah dengan kekacang tetapi lama kelamaan alahan itu wujud. Ini kerana individu hanya akan mendapat alahan apabila terdedah berulang kali dengan perkara yang sama,” katanya pada kempen awam Hidup Bebas Alahan anjuran Persatuan Pakar Bedah Otorinolaringologi Kepala dan Tengkuk Malaysia (MSO-HNS), Persatuan Alergi dan Imunologi Malaysia (MSAI) dan disokong oleh GlaxoSmithKline Pharmaceutical Sdn Bhd (GSK).

    Bagaimanapun, katanya, apa yang menyedihkan, alahan sering disalah anggap oleh masyarakat, malah kebanyakan pesakit rela menerima hakikat alahan adalah sebahagian daripada lumrah kehidupan.

    Gejala seperti hidung berhingus dan tersumbat bukanlah masalahnya tetapi akibat daripada gejala-gejala yang timbul itu dan menyebabkan seseorang terpaksa mengambil cuti sakit kerana tidak dapat bekerja.

    Ada pula yang datang bekerja, tetapi tidak dapat melakukan tugas dengan baik kerana masalah hidung yang berhingus, tersumbat serta mata yang gatal dan berair.

    “Keadaan ini bukan saja memberi kesan kepada produktiviti tetapi juga mengakibatkan tekanan perasaan serta psiko-sosial,” katanya.

    Dr Prepageran berkata, memandangkan alahan adalah permulaan masalah yang lebih serius, ia perlu dibendung dan dicegah seawal mungkin. Sekiranya individu alah kepada habuk, hama atau debu, langkah kawalan dan pencegahan awal boleh diambil dengan mengelaknya. Ini kerana lebih awal alahan bermula lebih lama ia akan dihidapi.

    Jelasnya, adalah mustahil untuk mengelak dari terdedah kepada habuk, hama, debunga mahupun cuaca terutama di negara seperti Malaysia.

    “Pilihan yang ada adalah menyedarkan masyarakat mengenai alahan dan mengenai pertalian antara penyakit hidung, kulit dan lelah.

    “Pendidikan dalam kalangan orang awam adalah kunci dalam membantu pesakit dalam menentukan jenis alahan yang dihidapi bagi mengurangkan kejadian dan merebaknya penyakit itu dengan pengesanan dan rawatan yang bersesuaian.”

    INFO: Antara faktor risiko alahan:

  • Asap rokok - Kanak-kanak yang membesar di rumah yang terdedah dengan asap rokok, lebih berisiko alami masalah alahan.

  • Mereka yang lahir tidak cukup bulan.

  • Pendedahan awal atau dari usia kecil kepada pencetus alahan seperti habuk, kulat, lipas dan jenis makanan tertentu.

    Gejala alahan:

  • Berbeza daripada ketidakselesaan ringan (hidung dan mata berair, bersin, gatal)

  • Ia lebih kepada gejala yang lebih berat seperti sesak nafas, ruam dan tindak balas alahan melampau.

  • Atasi sakit belakang





             Pembedahan MIS hanya perlukan tusukan kecil pada tulang belakang.


    ANATOMI bahagian belakang tubuh adalah kombinasi tulang yang kuat, ligamen dan tendon yang fleksibel selain otot dan saraf yang sensitif.

    Rekaannya bukan saja ‘kuat’ tetapi berfungsi melindungi akar saraf yang sensitif. Bagaimanapun, seperti juga bahagian badan yang lain, ada kalanya ia tidak dapat lari daripada kesakitan. Malah, sakit belakang adalah yang paling ‘digeruni’ kerana selain kesakitan, ia turut menjejaskan rutin harian kerana menyebabkan individu sukar bergerak.
    Kesakitan bahagian tulang belakang mungkin disebabkan pelbagai faktor misalnya, akar saraf yang bengkak; otot besar (erector spinae) menegang; tulang, ligamen atau sendi cedera atau mungkin juga diska tergelincir.

    Berbanding rawatan lain, bagi tulang belakang, pembedahan adalah pilihan terakhir melainkan dalam kes-kes kecemasan. Selalunya, doktor hanya akan mencadangkan pembedahan jika kesakitan berterusan meskipun anda sudah melakukan rawatan bukan pembedahan. Andai berdepan situasi sedemikian, anda mungkin boleh menimbangkan pembedahan minima invasif (MIS).

    Pakar Bedah Ortopedik, Hospital Pantai Kuala Lumpur, Dr Harwant Singh, berkata berbanding dengan prosedur lama pembedahan tulang belakang, MIS dibantu dengan peralatan canggih berkomputer dan teknik pembedahan minima yang mengurangkan kesakitan.

    Jelasnya, prosedur MIS mengurangkan rasa sakit, cepat sembuh, memendekkan masa pembedahan, kurang kerosakan pada tisu lembut selain saiz tusukan pembedahan yang lebih kecil sekali gus menyebabkan bekas tusukan kurang berparut.
    Bagi pembedahan cara terbuka, pakar bedah membuat potongan panjang melalui kulit, otot dan ada kalanya tulang. Tempoh pemulihan untuk pembedahan jenis ini selalunya sakit dan lambat. Ada juga pesakit yang belum pulih sepenuhnya selepas sebulan tempoh pembedahan.

    “Terma minima invasif digunakan bagi merujuk pada prosedur yang hanya memerlukan tusukan pembedahan kurang daripada 1.5 sentimeter. Hari ini dunia perubatan moden bergerak ke arah rawatan jenis ini. Namun ada banyak pembedahan berbeza yang didefinisikan sebagai ‘minima invasif” dan menggunakan pendekatan berbeza. Justeru, penting untuk pesakit memahami setiap perbezaan itu dan membuat pilihan terbaik untuk mereka,” katanya.

    Meskipun MIS tidak merujuk kepada satu jenis pembedahan saja, namun tujuan pembedahan jenis ini adalah untuk mencapai kesan yang sama dengan pembedahan terbuka. Bezanya ia dilakukan dengan tusukan yang lebih kecil. Ada kala pembedahan jenis ini dilakukan melalui tiub kecil. Perlu juga diketahui bukan semua pesakit boleh menjalani prosedur ini.

    Satu daripada kelebihan prosedur MIS adalah dalam pembedahan ‘open lumbar’ (bahagian bawah tulang belakang) yang dulunya menyebabkan pembedahan sebesar lima ke enam inci. Keadaan ini boleh menyebabkan kerosakan pada tisu normal. Namun menerusi MIS, ia membantu mengurangkan ‘gangguan’ pada otot.

    Dalam sesetengah pendekatan MIS yang juga disebut sebagai ‘keyhole surgeries’ pakar bedah menggunakan endoskopi kecil dengan kamera di hujung yang dimasukkan melalui bawah kulit. Kamera itu membolehkan pakar bedah melihat lokasi yang terjejas. Hari ini MIS sudah menjadi pilihan popular di kebanyakan hospital di seluruh dunia.

    Bagaimanapun pesakit perlu menjalani rawatan konservatif seperti terapi fizikal, pengambilan ubat-ubatan sebelum memilih pembedahan sebagai alternatif rawatan. Selalunya doktor memberi tempoh p penilaian bergantung pada keadaan pesakit, umumnya antara enam minggu ke enam bulan.

    Arthritis usia muda

                            KEADAAN lutut normal (kiri) dan penghidap JIA.


    SUSUK tubuhnya yang kecil dan tidak setara usianya sering menjadi bahan jenaka rakan sekolah. Tambahan pula dalam kebanyakan masa dia terpaksa pula membawa diri kerana tidak dapat menyertai sebarang kegiatan fizikal yang lasak dan menyeronokkan seperti dinikmati rakan sebayanya. Hanya rakan yang akrab saja tahu dan faham derita penyakitnya.
    Inilah sengsara yang ditanggung pesakit Juvenile Idiopathic Arthritis (JIA) seperti yang dialami Siti Bazilah Puad@Awang, 19, sejak usianya baru mencecah 9 tahun lagi.
    “Dulu saya cepat melenting dan tersinggung serta mudah tertekan dengan keadaan penyakit ini kerana kurang faham dan tidak tahu menguruskannya.

    “Namun lama kelamaan dengan sokongan keluarga dan pakar perubatan, saya mula menyesuaikan diri dan memahami kelebihan dan keburukan bergelar penghidap JIA,” katanya ketika ditemui penulis di Hospital Selayang, baru-baru ini.

    Penuntut tahun pertama Kolej Islam Antarabangsa dalam bidang Pendidikan Islam Awal Kanak-Kanak, itu berkata, gejala awal bermula apabila dia diserang demam panas yang keterlaluan sewaktu berusia 9 tahun. Selain demam, Siti merasa sakit yang teramat sangat di sekitar sendi-sendi tubuh terutama lutut, buku lali, pergelangan tangan sehingga tidak dapat menggerakkannya.

    “Pada mulanya ibu bapa menyangka ia hanya demam panas biasa, namun menyedari ada sesuatu yang tidak kena apabila suhunya terlalu tinggi. Pergerakan saya juga lambat dan berasa sakit untuk berjalan hingga kesakitan yang dialami itu sukar untuk digambarkan,” katanya.
    Hanya selepas sebulan berulang-alik ke hospital dan melakukan pelbagai ujian, anak kelima daripada enam beradik ini disahkan mengalami masalah berkaitan kecelaruan auto imun itu. Selain mengalami kesakitan, sendi tumbesarannya juga terganggu.

    “Pada usia 9 tahun itu, bagi saya, sememangnya terlalu muda untuk memahami apa yang dimaksudkan dengan JIA... baik dari segi gejala, kaedah rawatan, kesannya terhadap rutin seharian dan masa depan saya.

    “Hanya pada usia mencecah 14 tahun saya mula mencari maklumat lanjut di laman web, bahan bacaan, bertukar pandangan dengan mereka yang senasib termasuk menyertai Kem Musim panas ‘Indipendent Camp’ yang sering dianjurkan Hospital Selayang,” katanya.

    Sejak menerima rawatan di Hospital Selayang sejak 2001, anak kelahiran Kuala Lumpur ini perlu mengambil beberapa jenis ubat termasuk asid folic, vitamin D, fisioterapi, pemulihan carakerja dan hidroterapi.

    “Kini walaupun saya sedar JIA akan membayangi kehidupan saya hingga ke akhir hayat kerana tiada penawar untuknya, namun saya percaya ada hikmah di sebalik semua yang tersurat. Tubuh saya mungkin kecil namun hati dan cita-cita saya untuk menjadi pendidik anak bangsa cukup besar.”

    Menghidap penyakit kronik begini bukan satu hukuman atau pengakhiran kepada sebuah kehidupan sebaliknya ia menjadi lebih bermakna apabila kita tahu bersyukur, tidak mudah putus asa dan memahami maksud reda.

    'Bukan sakit keturunan, boleh dialami semuda usia bayi

    TIADA apa yang lebih mengejutkan ibu bapa apabila diberitahu anak kecilnya menghidap arthritis, penyakit yang lazim dialami warga tua. Dikenali sebagai Juvenile Idiopathic Arthritis (JIA), ia adalah jenis penyakit arthritis yang menyerang kanak-kanak dan dikategorikan sebagai kronik (penyakit sepanjang hayat) kerana ia menjejaskan sendi di seluruh tubuh.

    Ini berlaku apabila sistem imun yang sepatutnya menyerang anasir asing pada tubuh menjadi celaru dan sebaliknya menyerang sel tisu yang melindungi bahagian dalaman sendi. Ini mengakibatkan pesakit mengalami bengkak, sakit dan kekejangan berlarutan.

    Punca sebenar JIA masih tidak diketahui. Bagaimanapun, pengkaji turut menyelidik beberapa faktor yang berkemungkinan terbabit secara sendiri mahupun berganding dalam mencetus kesan keradangan yang dilihat pada JIA. Faktor ini termasuk genetik, jangkitan dan faktor persekitaran yang mempengaruhi sistem imun. JIA, bagaimanapun, bukan penyakit keturunan seperti cystic fibrosis.

    Perunding Pediatrik Rheumatologi, Hospital Selayang, Dr Tang Swee Ping, berkata JIA boleh dihidapi seawal usia bayi beberapa bulan sehingga 16 tahun.

    Ia dikenali sebagai juvana kerana kanak-kanak dikesan menghidap penyakit ini sebelum mencecah usia 16 tahun manakala idiopathic bermaksud punca penyakit yang masih tidak diketahui.

    “Secara umumnya, dari segi nisbahnya satu daripada 1,000 kanak-kanak di Malaysia menderita penyakit ini. Memandangkan Hospital Selayang adalah pusat rujukan untuk penyakit arthritis, sejak unit ini ditubuhkan enam tahun lalu, 60 pesakit kronik arthritis menerima rawatan di sini,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

    Merujuk kes Siti Bazilah yang dirawat sejak 2001, Dr Tang dapat merumuskan kebanyakan pesakit yang mengalami JIA mampu mengawal penyakit mereka dengan baik dan gadis itu adalah antara contoh terbaik.

    “Biasanya, kanak-kanak yang mengalami JIA menghadapi masalah memahami, menguruskan penyakit serta bertanggungjawab terhadapnya.

    “Justeru, sudah menjadi tanggungjawab kami untuk memberikan segala maklumat dan pengetahuan asas berguna kepada ibu bapa serta penjaga supaya mereka memahami serta tahu bagaimana menguruskan anak yang menderita JIA dengan terancang,” katanya.

    Dalam kebanyakan kes, kanak-kanak atau pelajar yang mengalami JIA berhadapan masalah pergaulan dan komunikasi di sekolah kerana terpaksa mengelak dari menyertai aktiviti fizikal yang keras dan memudaratkan keadaan mereka. Malah susuk tubuh mereka yang kebanyakan lebih kecil dari usia akibat gangguan tumbesar menjadi bahan senda gurau rakan sebaya.

    “Untuk itu Yayasan Arthritis Malaysia, menerusi Kelab Remaja mengambil inisiatif menganjurkan pelbagai aktiviti untuk kanak-kanak ini termasuk untuk ‘Independent Camp’ yang mana pesakit muda ini dibawa menyertai program tanpa ditemani keluarga bagi memperkasa diri dengan maklumat dan pengetahuan mendalam mengenai penyakit, ubat-ubatan, mengapa perlunya ubat-ubatan dan juga peluang pekerjaan.

    “Mereka perlu tahu dengan memahami halangan jenis pekerjaan yang kurang sesuai akibat kekangan fizikal, anak-anak ini akan lebih fokus kepada jenis kerjaya yang lebih sesuai kerana hakikatnya menghidap JIA bukanlah penamat untuk mereka menikmati kehidupan yang berkualiti dan berjaya.”

    INFO: Gejala JIA

    Berbeza dan bergantung kepada jenis JIA termasuk:

  • Kejang pada bahagian sendi waktu pagi.

  • Sakit, bengkak dan lembut dalam sendi.

  • Tempang (bayi atau anak kecil berkemungkinan tidak mampu menjalani aktiviti motor yang baru dipelajari)

  • Demam

  • Ruam

  • Hilang berat badan

  • Letih atau cepat marah

  • Merah mata, sakit mata, dan pandangan kabur

    Rawatan JIA termasuk:

  • Ubat anti-radang tanpa steroid (NSAIDs)

  • Corticosteroids (steroids)

  • Ubat anti-rheumatik pengubah suai-penyakit (DMARDs)

  • Agen pengubah suai Biologikal

  • Senaman dan terapi fizikal dan cara kerja

  • Bau badan busuk

    MASALAH ketiak dan kaki berbau memang merisaukan. Lebih memalukan apabila ia mengganggu orang lain. Hakikatnya semua orang punya bau badan yang tersendiri kerana ia berpunca daripada proses perpeluhan. Berpeluh adalah sebahagian daripada proses tubuh dan kita perlu faham mengapa tubuh menghasilkan peluh.
    Ada dua jenis kelenjar menghasilkan peluh, pertama kelenjar Eccrine dan kedua kelenjar Apocrine.
    Kelenjar Eccrine bertanggungjawab terhadap proses berpeluh di mana ia bersambung terus hingga permukaan kulit untuk menghasilkan peluh. Ia bertujuan mengawal suhu badan selain membuang bahan-bahan buangan seperti urea, sodium, kalsium atau elektrolit.

    Pakar Perubatan dan Dermatologi Pusat Perubatan Darul Ehsan, Dr Noraziah Abd Kadir Jailani, menjelaskan peluh melalui kelenjar Eccrine sifatnya tulen, jernih seperti air dan tidak menghasilkan bau kerana akan terus keluar ke permukaan kulit dan meluap.

    Kelenjar Apocrine pula merembeskan cecair yang lebih likat dan agak keruh serta menimbulkan masalah jika ia lebih banyak dari kelenjar Eccrine.

    Kelenjar Apocrine ada pada bahagian tubuh yang banyak folikel rambut seperti ketiak serta tempat sulit seperti kemaluan. Kelenjar ini mengandungi sebum, bahan berlemak di mana peluh dirembeskan. Sebum pula bahan organik yang tersimpan dalam kelenjar Apocrine.
    Di sini lebih mudah untuk bakteria memecah masuk protein dalam rembesan peluh, tidak seperti kelenjar Eccrine. Apabila protin dipecah masuk dalam peluh oleh bakteria, ketiak atau kaki akan mengeluarkan bau yang kurang menyenangkan.

    Punca bau badan boleh disebabkan bahan buangan terkumpul dalam badan akibat proses pencernaan tidak sempurna. Pengambilan pelbagai jenis makanan, majoritinya digunakan untuk tubuh sementara selebihnya ditukar ke dalam bentuk sisa buangan atau toksin. Toksin ini disingkirkan sekiranya ginjal, hati dan saluran penghadaman usus berfungsi dengan baik.

    Atas sebab tertentu seperti sembelit, sekiranya sistem pencernaan tubuh tidak berfungsi dengan betul, toksin ini boleh kekal dalam tubuh. Individu yang punya masalah ini dan makan banyak daging, telur, ikan dan kekacang khususnya akan mempunyai bau badan yang busuk. Makanan ini mengandungi banyak Choline yang tidak mudah melalui proses metabolisme.

    Banyak minum kopi atau minuman berkafein dan makanan berempah yang mengandungi bawang dan bawang putih juga berpotensi menyebabkan bau pada ketiak, tidak kira lelaki atau wanita.

    Punca lain bau badan termasuk masalah ginjal, hati, hypoglycemia (kurang gula dalam darah), jangkitan kuman, kencing manis dan tiroid. Ia dikesan apabila individu yang pada mulanya tidak punya masalah bau, tiba-tiba mengalami perubahan bau badan yang mengganggu. Bau badan juga disebabkan oleh faktor genetik dan kelenjar yang sangat aktif.

    Punca kaki berbau tidak banyak beza dengan bau badan. Selain kaki yang kuat berpeluh, bau kaki juga disebabkan memakai kasut atau sarung kaki yang tiada pengalihan udara sempurna dalam tempoh yang lama. Memandangkan kaki manusia dilitupi kelenjar peluh tebal, peluh pada kaki boleh bercampur dengan bakteria pada permukaan dan menghasilkan bau.

    Bulu pada kaki terutama pada ibu jari mampu menyumbang kepada bau yang lebih pekat dengan menambah jumlah permukaan di mana bakteria boleh membiak. Bau kaki boleh dirawat dengan memilih kasut terbuka dan stokin dari bahan semula jadi seperti kapas dan bulu biri-biri.

    Pastikan kaki sentiasa kering, guna talkum untuk kaki, jangan guna kasut yang sama dan elakkan tekanan emosi dengan melakukan senaman meditasi seperti yoga.

    Antara cara merawat dan mengawal masalah bau ketiak pula ialah penggunaan cecair pencuci mengandungi 3 peratus hidrogen peroksida, menyembur pewangi dan penyembur anti peluh. Jika terlalu serius, pembedahan membuang kelenjar Apocrine pada tempat bermasalah boleh dilakukan selain laser serta suntikan botox.

    Info: Cara mengawal bau badan
    Kerap mandi
    Pilih pakaian fabrik kapas dan longgar
    Elak pengambilan makanan tinggi choline (bawang putih, daging, rempah, kafein dan kekacang)
    Berhenti merokok.

    Tak boleh jamah makanan

    HANYA MINUM...Daniel hanya boleh minum dan tidak pernah menjamah makanan sejak 10 tahun lalu.



    JIKA dilihat pada zahirnya dia sama seperti kanak-kanak lain. Membesar dengan sempurna, keletah dan manja serta memiliki kulit cerah tanpa sebarang cela.

    Hakikatnya tiada siapa tahu kanak-kanak ini mempunyai penyakit ‘misteri’ iaitu tidak boleh menjamah makanan sejak dilahirkan.

    Akibatnya, Muhammad Daniel Mohd Idham, 10, hanya bergantung sepenuhnya kepada susu tepung yang dibancuh di dalam cawan atau minum Milo dan soya untuk meneruskan hidup.

    Walaupun diumpan dengan segala makanan yang sedap dan enak, anak pertama daripada dua beradik ini langsung tidak teruja. Malah boleh dikatakan makan tiada dalam kamus hidupnya atau tidak pernah diprogramkan dalam otak Daniel.

    Menurut ibunya, Shuhaila Saidon, 37, Daniel akan menolak apabila disuruh makan. Pernah satu ketika Daniel muntah-muntah apabila melihat iklan makanan ringan di televisyen. Bagi Daniel, makan tidak penting dan dia langsung tiada nafsu ke arah itu.


    Ketika sedang menikmati segelas susu, penulis bertanya kepada Daniel, apakah rasa Milo? Dia lalu memberitahu rasanya sedap, masin dan berlemak. Itulah saja gambaran rasa bagi Daniel, dia tidak pernah menyebut deria rasa yang lain.

    Malah ada pakar perubatan yang ditemui Shuhaila memberitahu kemungkinan Daniel mempunyai masalah saraf yang menyebabkan dia tidak mempunyai deria rasa seperti orang lain.

    “Mungkin ada kebenarannya kerana pernah satu ketika Daniel yang pernah diberi minum air Laut Mati dari Makkah mengatakan minuman itu sedap sehingga dia menjilatnya berkali-kali sedangkan rasanya terlalu masin sehingga tidak mampu ditelan orang lain,” jelas Shuhaila.

    Menceritakan detik bagaimana mengandungkan Daniel, menurut Shuhaila, dia tidak mengalami sebarang alahan atau perkara pelik ketika mengandung. Namun disebabkan mengalami masalah uri di bawah, Daniel dilahirkan sebagai bayi pramatang pada 12 Oktober 2001 di Hospital Selayang, Selangor. Ini menyebabkan dia bergantung kepada mesin inkubator selama 10 hari.

    Namun, Daniel mudah dijaga dan tidak banyak kerenah. Seperti kanak-kanak lain, ketika empat bulan Daniel diberi makan tetapi dia tidak dapat menerimanya sehinggalah usianya mencecah setahun dan Daniel langsung tidak boleh merasa sebarang jenis makanan.

    “Kami sekeluarga mula menyedari keganjilan Daniel seawal usia empat bulan apabila dia meluahkan apa saja makanan yang disuap ke mulutnya. Saya juga sudah mencuba banyak cara agar dia menelan makanan seperti memasukkan makanan pejal yang dikisar halus ke dalam botol susu tetapi semua tidak berhasil.

    “Setahun saya berulang-alik ke klinik dan doktor yang merawat Daniel memberitahu ini perkara biasa bagi kanak-kanak dan hanya berkaitan psikologi. Apabila usianya meningkat, dia akan berubah dan gemar kepada makanan.

    “Selepas usia Daniel menjangkau tiga tahun, saya membawanya berjumpa pakar kanak-kanak. Namun masih sama, dia menunjukkan perlakuan seperti jijik pada makanan,” katanya.

    Sebagai ibu, Shuhaila bimbang memikirkan perkembangan Daniel. Walaupun ada yang berkata, buat apa risau sedangkan Daniel sihat namun naluri keibuannya tidak tenang. Lebih-lebih lagi apabila memikirkan sejak tiga tahun lalu kesihatan Daniel semakin merosot. Dia mudah penat, kerap asma dan gastrik yang teruk sehingga adakalanya tidak dapat ke sekolah. Sudah tentu ini mengganggu pembelajaran Daniel di sekolah.

    “Jika berada di luar, Daniel ibarat tidak cukup oksigen. Nafasnya tercungap-cungap kepenatan. Sebab itu dia langsung tidak boleh melakukan sebarang aktiviti luar bilik darjah. Di sekolah saya meminta guru memantau pergerakan Daniel dan tidak membenarkannya menyertai aktiviti sukan.

    “Pernah dia cuba berpuasa tetapi tidak sampai ke petang Daniel pitam. Sejak itu saya tidak pernah menyuruhnya berpuasa lagi,” katanya ketika ditemui di Kuala Kubu Baru, baru-baru ini.

    Oleh kerana tidak makan di sekolah, Daniel hanya dibekalkan susu serta Milo. Namun dalam keadaan cuaca panas Daniel memerlukan jumlah cecair yang banyak untuk dia kekal bertenaga sepanjang hari.

    Sebab itu satu tin susu 900 gram yang berharga RM70 hanya bertahan untuk satu setengah hari saja. Malah pada usia 10 tahun, jadual minum susu dalam kadar tidak menentu. Dia akan minum apabila lapar, adakalanya sehingga berbelas kali sehari. Ini menyebabkan doktor memberitahu kemungkinan buah pinggang Daniel akan rosak disebabkan kadar minum yang tidak menentu.

    “Ketika berusia tujuh tahun, Daniel mengambil susu tidak kurang 16 kali sehari dengan kuantiti 250 mililiter setiap kali pengambilan. Apabila usia meningkat, jumlah susu semakin bertambah dan dia minum tanpa mengikut jadual sehingga mencecah puluhan kali sehari.

    “Saya bimbang memikirkan keadaan Daniel kerana sehingga setakat ini, tiada cara atau rawatan dilakukan ke atasnya disebabkan pakar perubatan tidak dapat mengesan puncanya. Jika ini berlarutan, ia akan menjejaskan kesihatan Daniel,” ujar Shuhaila.

    Shuhaila memberitahu, bagi memantau perkembangan Daniel, dia sanggup berhenti kerja di sebuah syarikat perbankan semata-mata untuk memastikan kesihatan anaknya. Pada masa sama, pelbagai kaedah perubatan sama ada moden atau tradisional dicuba namun tidak menunjukkan sebarang perubahan.

    Dia juga banyak mendapatkan maklumat menerusi Internet mengenai penyakit yang menimpa Daniel. Dari situ, Shuhaila banyak belajar mengenai istilah dalam bidang perubatan yang selama ini tidak pernah diketahuinya.

    Oleh kerana kes ini jarang berlaku di Malaysia, Shuhaila menerima maklum balas daripada masyarakat yang meminta dia bersyukur dan menerima keadaan Daniel seadanya kerana Daniel sihat dan tidak sakit.

    “Malah ramai pula berkata, saya beruntung kerana anak tidak makan dan ini menjimatkan kos. Pada saya perbelanjaan Daniel tidak penting kerana kami sanggup melakukan apa saja asalkan Daniel pulih seperti kanak-kanak lain. Saya dan suami tidak sampai hati melihat keadaannya. Bayangkan jika ini berterusan untuk 10 tahun akan datang?” katanya.

    Bagi menampung pendapatan suami, Mohd Idham Atan, 36, Shuhaila melakukan kerja sambilan seperti membuat pembungkusan hamper dan katering di kawasan perumahan. Sekurang-kurangnya duit itu dapat digunakan bagi membeli susu Daniel.

    “Walaupun saya tidak perlu menyediakan makanan untuk Daniel, kos untuk membeli susu sangat mahal,” katanya.

    Melihat keadaan anaknya yang adakalanya pucat tidak bermaya dan tidak boleh berada di luar rumah melebihi dua jam, Shuhaila tidak tahu kepada siapa dia harus mengadu. Bukan mahu menyerah kalah tetapi sekurang-kurangnya dia dan suami boleh merujuk pada mana-mana pakar perubatan bagi mendapatkan gambaran jelas mengenai penyakit Daniel dan mendapatkan rawatan sesuai.

    Walaupun kes ini masih baru di Malaysia dan pakar perubatan masih belum dapat mengesan puncanya, Shuhaila dan suami sangat berharap agar ada pihak tertentu tampil membantu mengurangkan bebanan emosi yang ditanggungnya kini.

    “Saya sangat berharap sekiranya ada sesiapa yang sudi menghulurkan bantuan atau mengetahui tempat rawatan untuk Daniel. Siang dan malam saya berdoa agar Daniel mampu menikmati kehidupan seperti kanak-kanak lain. Saya sangat sayangkannya dan tidak mahu melihat masa depannya gelap kerana masalah ini,” katanya.

    Peka lelah

    Sejauh manakah kita menyedarinya? Hakikatnya, berbanding penyakit jantung, diabetes atau kencing manis dan darah tinggi yang lebih dikenali, penyakit asma pula lazimnya lebih ‘dihayati’ penghidap dan keluarga mereka yang lebih maklum kesan atau komplikasi fizikal, psikologi dan sosial akibat asma.

    Malah, berbanding penyakit lain, asma sebaliknya boleh diurus dan dikawal. Malangnya, di sebalik kesedaran itu, penyakit ini masih mencatatkan peningkatan yang membimbangkan kerana tidak dikawal dan diuruskan dengan baik.
    Pengarah Institut Perubatan Respiratori, Datuk Dr Abdul Razak Muttalif, menjelaskan menerusi kajian yang dijalankan berkaitan pengurusan dan kawalan asma di Malaysia, mendapati 30 hingga 40 peratus pesakit asma terganggu kualiti hidupnya (tidak dapat bekerja dan bersekolah) dan 30 hingga 40 peratus lagi tidak dapat menyertai aktiviti sukan, aktiviti fizikal atau bersantai.
    “Ini menunjukkan asma di negara ini memang tidak dikawal dengan baik terutama pengurusan rawatan yang mana ubat hanya digunakan bila sakit saja disamping pengambilan ubat yang tidak teratur dan salah.

    “Akibatnya, setiap kali mendapat serangan asma, paru-paru mengambil masa lama untuk sembuh,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

    Apakah punca berlakunya asma? Ia dicetuskan dengan kehadiran dua komponen utama iaitu alahan yang wujud secara genetik serta akibat terdedah kepada suasana atau perkara tertentu yang memburukkan lagi keadaan. Pada dasarnya, asma boleh dikatakan sebagai penyakit alahan.

    Menyentuh fungsi paru-paru sebagai organ dalam sistem pernafasan, ada tiga komponen utama iaitu saluran udara, rongga paru-paru dan selaput. Perkara utama membabitkan asma ialah saluran udara. Apabila alahan berlaku berlaku saluran menjadi bengkak dan mula menyempit. Apabila sempit udara sukar untuk keluar dan masuk menyebabkan pesakit tercungap-cungap, seperti penat dan nafas yang berbunyi.
    “Kadangkala, apabila saluran sempit dan menjadi radang ia akan mengeluarkan banyak cecair. Dan cecair inilah menjadikan saluran makin sepit dan menyebabkan pesakit sering batuk. Batuk adalah mekanisme yang baik bagi pesakit asma kerana ia mengeluarkan kahak dan pesakit asma yang batuk menandakan dia banyak kahak,” katanya.

    Dr Abdul Razak berkata, bersempena sambutan Hari Asma Sedunia 3 Mei ini yang masih memperjuangkan tema ‘Anda Boleh Mengawal Asma’, pesakit perlu sedar bahawa asma adalah milik mereka dan ia perlu diurus dengan baik.

    “Dulu, kita hanya ada ubat untuk membuka saluran udara, dan tiada penawar untuk mengurangkan radang. Kini kita ada ubat yang mencampurkan kedua-duanya sekali, mengembangkan saluran udara dan mengurangkan radang, jadi mahu atau tidak ia perlu diambil,” katanya.

    Bagaimanapun ubat yang paling mujarab ialah mengurangkan radang kerana kesannya adalah untuk jangka panjang, cuma masalahnya di seluruh dunia, mereka tidak suka menggunakan ubat mengurangkan radang kerana tidak nampak kesannya secepat mungkin.

    Kehadiran kombinasi itu adalah untuk mencegah serangan asma yang kuat dan mengurangkan fungsi paru-paru yang teruk, kerana itulah pesakit perlu disedarkan mengenai cara mengawal dan menguruskan asma supaya mereka boleh menikmati kualiti hidup yang terbaik dengan amalan gaya hidup yang sihat.

    Info: Tip urus asma

    Pesakit dan doktor perlu saling berbincang cara terbaik kaedah atau rawatan terbaru menangani penyakit ini.
    Gunakan ubat-ubatan asma dengan betul dan mengikut jadual yang ditetapkan.
    Kenali simptom serangan asma seperti batuk, semput, sukar bernafas.
    Kenal pasti punca atau faktor pencetus asma seperti bulu haiwan peliharaan, asap rokok dan habuk.
    Bagi mereka yang boleh bersenam, dapatkan nasihat doktor mengenai senaman sesuai.

    Tak semua sesuai bedah kosmetik


     Selebriti Amerika Syarikat, Jocelyn Wildenstein, antara bukti kegagalan pembedahan kosmetik yang menjadikan wajahnya lebih hodoh.

    SEJAK beberapa dekad kebelakangan ini masyarakat sudah menganggap pembedahan plastik sebagai kaedah pembedahan kecantikan yang menjadi trend masa kini dan tiada bezanya dengan pembedahan lain. Tiada lagi rasa malu atau rendah diri dan tidak perlu berahsia lagi.

    Selain pembedahan plastik, kajian menunjukkan prosedur tidak invasif (tanpa pembedahan) seperti rawatan kecantikan estetik juga dilihat menarik minat pesakit yang belum bersedia, tidak mahu atau tidak boleh menjalani pembedahan dengan catatan 11.4 juta prosedur dijalankan di seluruh dunia sepanjang 2005 iaitu peningkatan dua kali ganda berbanding tahun 2000.
    Menurut Perunding Plastik dan Pakar Bedah Rekonstruktif Hospital Pakar Ampang Puteri, Datuk Dr A Jalil Jidon, pembedahan plastik pada dasarnya terbahagi kepada dua cabang utama iaitu rekonstruktif dan kosmetik.
    Objektifnya berbeza yang mana rekonstruktif membina semula bahagian yang tiada, rosak atau cedera akibat kemalangan, kebakaran mahupun kecacatan sejak lahir, manakala kosmetik pula lebih menjurus kepada tujuan imej tubuh badan.

    “Idea utama rekonstruktif ialah cuba memperbaiki sesuatu keadaan menjadi hampir normal seperti kanak-kanak sumbing dalam usaha memperbaiki percakapan dan penampilan; mangsa barah payudara dengan membina semula payudara yang dibuang akibat barah menggunakan sel dan tisu tubuh dan mangsa lecur untuk mengurangkan parut dan mengembalikan fungsi kulit.

    Walaupun semua jenis pembedahan kosmetik dijalankan di sini termasuk payudara, menegangkan wajah, hidung, menyinsing perut dan juga menyedut lemak perut, namun jika penilaian dan pemeriksaan pakar mendapati objektif pembedahan tidak dapat dicapai, ia tidak akan dilakukan.

    “Ia tidak semudah memenuhi segala permintaan pesakit, kerana bagi pihak kami pelbagai aspek harus diberi penekanan termasuk keselamatan, mampu dicapai atau tidak dan adakah ia memuaskan hati. Tahap kesihatan, fizikal, psikologi dan sama ada permintaan itu mustahil atau tidak kerana ada pesakit yang datang dengan permintaan yang tidak munasabah dan sukar dicapai. Fungsi pembedahan plastik adalah untuk menambah baik bahagian tubuh tertentu bukan mengubahnya menjadi individu lain,” katanya yang mengakui kliniknya turut dikunjungi ramai pesakit dari serata dunia.
    Pada dasarnya pembedahan plastik adalah selamat sekiranya dilakukan mengikut protokol dan oleh pakar yang berkelayakan serta menjalani latihan khusus. Kos tidak seharusnya menjadi faktor utama tetapi keselamatan dan kepuasan, malah ramai menganggap ia bukanlah pembedahan eksklusif seperti sebelumnya dan harus dilakukan bila dirasakan perlu.

    Jelasnya sepanjang kerjayanya, pesakit paling muda yang pernah mendapat khidmatnya ialah remaja berusia 16 tahun yang mahu membesarkan payudara dan paling tua berusia 70 tahun, namun semuanya dilakukan selepas calon ini melepasi ujian fisiologi, fizikal dan psikologi memandangkan setiap pesakit adalah unik dan tersendiri.

    Dr A Jalil turut meluahkan kebimbangannya yang perlu berhadapan dengan sekurang-kurangnya dua pesakit seminggu yang datang untuk membetulkan kesilapan rawatan kecantikan yang dilakukan di pusat kecantikan yang tidak bertauliah.

    Benar kini semakin ramai menerima kaedah pembedahan plastik, begitupun dalam masa sama pengusaha yang tidak terlatih tumbuh macam cendawan selepas hujan. Hanya dengan campur tangan kerajaan menguatkuasa undang-undang serta kesedaran masyarakat terhadap peri pentingnya ilmu dan mendapat khidmat pengamal perubatan yang terlatih dan berkelayakan, maka kesilapan akibat rawatan kecantikan oleh pihak tidak bertauliah dapat dikawal.

    Sementara itu, Dr Rushmini Maris Ismail, pengusaha pusat kecantikan estetik Marissa Skin and Wellness Centre di Semenyih, Selangor, menjelaskan masyarakat kini punya kuasa memilih yang tinggi dan mahukan rawatan yang tidak menakutkan mereka. Atas alasan itu, ramai yang memilih melakukan rawatan estetik berbanding pembedahan plastik yang kosnya kadangkala jauh lebih tinggi.

    Di Malaysia, ia berkembang bukan atas dasar budaya popular yang dijaja media massa, sebaliknya golongan bekerjaya dan remaja yang melalui perubatan begini punya perspektif yang tersendiri. Kini masyarakat mencari pilihan yang kosnya lebih sederhana namun hasilnya hampir menepati rawatan yang agak invasif.

    “Ia berkembang menjadi cabang yang maju...dari suntikan, laser mahupun surgeri kesemua prosedur ini minimum dan tidak membabitkan pembedahan. Kaedah yang digunakan tidak meninggalkan kesan mahupun parut fizikal, tidak perlu dijahit mahupun menggunakan bius secara umum. Bagaimanapun keberkesanan kaedah ini ada hadnya namun hasilnya boleh diterima pelanggan.

    “Bagi memastikan prosedur dijalankan dengan selamat pemilihan pesakit dilakukan mengikut kriteria tertentu di mana setiap orang yang mahu menjalani rawatan estetik perlu sihat, cergas, paras gula (kencing manis) pada tahap normal begitu juga bacaan sehari selepas rawatan dijalankan. Kadangkala kami pastikan pesakit datang ke sini setiap hari untuk memantau juga untuk tujuan rawatan susulan.

    Jelasnya kaedah rawatan yang digunakan adalah saintifik, mengikut prosedur yang betul bagi mengelak komplikasi. Prosedur harus mengikut protokol yang ketat.

    Ia menjadi negatif bila rawatan itu dilakukan pengusaha pusat kecantikan mahupun pengamal perubatan yang tidak bertauliah.

    “Kami di sini sangat tegas dengan polisi tidak membetulkan kesalahan atau kesilapan pelanggan yang menjalani rawatan kosmetik di tempat lain. Selain pengamal yang sah, kandungan ubat-ubatan juga perlu mendapat kelulusan FDA dari Amerika Syarikat. Apa yang berlaku rata-rata pengusaha pusat kecantikan yang banyak di pasaran tidak mengetahui kandungan bahan yang digunakan menyebabkan jadi kesan sampingan juga serius.

    Jelas Dr Rushmini yang juga pengamal perubatan konvensional berdaftar, kebanyakan pelanggan remaja yang datang mendapatkan rawatan di kliniknya berhadapan masalah kulit termasuk jerawat dan jeragat, sementara pelanggan berusia 40-an lebih kepada rawatan anti penuaan, menegangkan payudara, hormon dan melicinkan kulit. Kumpulan ini kebanyakan sudah berkahwin dan punya anak. Tidak kurang juga jejaka yang datang untuk membuang bulu di tubuh.

    Rawatan paling terkenal di sini ialah obesiti atau menurunkan berat badan menggunakan rawatan hormonal modulation kerana selama ini ramai yang menganggap masalah kegemukan hanya disebabkan diet tetapi hormon
    yang tidak seimbang.